Perayaan Thaipusam yang diadakan sempena memperingati kelahiran Dewa Murugan hari ini, dirai secara meriah dan penuh warna-warni oleh jutaan penganut agama Hindu di seluruh negara.

Kemeriahan sambutan perayaan tersebut khususnya di Batu Caves menyaksikan lautan penganut Hindu dan pelancong tempatan serta asing, membanjiri Kuil Sri Subramaniar Swami di sini sejak 6.30 pagi, dan ada yang turut sama mendaki 272 anak tangga itu.

Ratusan penganut menyempurnakan nazar masing-masing dengan membawa palkudam (belanga susu) dan kavadi selain memecahkan kelapa serta mencukur rambut sebagai penebus dosa.

Menurut kepercayaan penganut Hindu, perayaan itu untuk meraikan peristiwa ibu kepada Dewa Murugan menyerahkan lembing kepadanya untuk menghapuskan kejahatan dan disambut semasa bulan penuh Tamil dipanggil Thai (berlaku dalam Januari atau Februari).

Pelancong dari England, Bryan William, 32, ketika ditemui Bernama berkata beliau yang pertama kali melancong ke Malaysia berasa teruja kerana berpeluang merasai kemeriahan sambutan perayaan itu serta menyaksikan kepelbagaian budaya di negara ini.


Antara pemimpin tempatan yang turut hadir ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy, dan Amirudin dalam ucapannya berkata sambutan perayaan itu adalah bukti semangat perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

"Hari ini, bukan sahaja penganut Hindu yang menyambutnya, malah pelbagai kaum turut hadir memeriahkan sambutan ini termasuk pelancong dari luar negara...situasi ini menunjukkan rakyat bebas mengamalkan perayaan agama masing-masing dengan aman dan terbuka," katanya.

Sementara itu, menjelang tengah hari ini, laluan utama ke Batu Caves lancar namun perlahan terutama di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) manakala lalu lintas serta keadaan sekitar juga terkawal dengan kehadiran anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Di KUALA SELANGOR, M. Raju, 36, yang merupakan antara kira-kira 4,000 penganut Hindu yang menyambut Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy di sini, berkata semua rakyat negara ini seharusnya bersyukur kerana dapat meraikan perayaan agama masing-masing dengan aman dan selamat.

Di SEREMBAN, meskipun tiada perarakan dibuat tahun ini, kira-kira 2,000 penganut Hindu membanjiri Kuil Sri Bala Thandayuthapani di Jalan Yam Tuan yang merupakan kuil tertua dan terbesar di Seremban, dengan melakukan acara sembahyang dan aktiviti keagamaan lain.

Di MELAKA, keadaan jalan raya dan pusat tumpuan awam di negeri ini agak lenggang kerana hari ini merupakan hari bekerja di Melaka, namun perayaan Thaipusam tetap disambut sederhana dengan penganut Hindu di negeri ini tertumpu di Kuil Sri Subramaniar di Batu Berendam.

Di JOHOR BAHRU, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat ke sambutan Thaipusam di Dewan Serbaguna Kuil Arulmigu Thendayuthapani yang berusia 102 tahun di Jalan Kuel, Wadihana, di sini.

Berangkat sama, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan ketibaan Sultan Ibrahim pada 12 tengah hari itu disambut Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian, Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Johor Dr S. Ramakrishnan serta Pengerusi Kuil Arulmigu Thendayuthapani Kovil, Dr Vatemalee Challaiah.

Baginda turut berkenan menerima cek sumbangan RM5,000 daripada pihak kuil kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan menyampaikan cek sumbangan pihak kuil kepada dua badan kebajikan serta barang-barang kelengkapan sekolah kepada 10 kanak-kanak kurang bernasib baik.

Di PERAK, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menghadiri sambutan Thaipusam di Kuil Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheroh, Ipoh.

Kuil itu menjadi tumpuan penganut Hindu setiap kali sambutan Thaipusam dengan perarakan pedati menuju ke Kuil Sri Subramaniar bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari di Buntong, Ahad lepas.

Di KEDAH, lebih 100,000 penganut Hindu dijangka menghadiri perayaan yang disambut secara besar-besaran di Kuil Sri Subramaniya Swami di Sungai Petani.

Di PULAU PINANG, berikutan persimpangan antara Jalan Brook dan Jalan Utama di sini, ditutup untuk perarakan pedati sempena perayaan itu, ramai penganut Hindu dan pelancong tiba di sini, awal pagi dengan berjalan kaki sejauh 2km untuk sampai ke kuil-kuil di Jalan Kebun Bunga.

Gerai-gerai makanan dan peralatan sembahyang dibuka di kedua-dua laluan jalan raya dari Jalan Kebun Bunga di sepanjang Jalan Utama.

Di KUCHING, biarpun hanya golongan minoriti di negeri ini, sambutan Thaipusam di sekitar bandar raya Kuching tetap dirai dengan meriah dalam kesederhanaan oleh masyarakat India di Sarawak.

Masyarakat India mula berkumpul di Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Rock seawal 7 pagi sebelum berarak bagi upacara Kavadi (beban fizikal) melalui Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Crookshank, Lorong Park dan tamat di Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman, Jalan Ban Hock.

Di KOTA KINABALU, kira-kira 600 penganut Hindu termasuk masyarakat Cina dan Kadazandusun hadir memeriahkan sambutan yang diadakan di Kuil Sri Subramaniar, Kem Lok Kawi.

Di LABUAN, penganut di sini menyambut perayaan Thaipusam dengan ada di antara mereka membawa 'kavadi' dari pantai Tiara ke Kuil Thirumugan di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, manakala terdapat juga penganut membawa 'paal kudam' (belanga susu).

Kira-kira 300 penganut mula membanjiri pantai berkenaan seawal 6 pagi, dan berarak sejauh lebih 3km ke kuil berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata keharmonian agama adalah keperluan lebih penting bagi membendung kebencian dan keganasan yang boleh menjejaskan perpaduan negara, dan perayaan Thaipusam adalah manifestasi kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"DAP menghormati Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta hak-hak bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka secara bebas.

"Rakyat Malaysia perlu bekerjasama menentang pihak-pihak yang menggugat perpaduan, perkauman dan ekstremis agama dengan menunjukkan kita lebih suka bekerjasama dan bukannya mencetuskan konflik, rundingan dan bukannya pertentangan, serta masyarakat bersatu padu dan bukannya berpecah-belah," katanya.

-- BERNAMA