Kerajaan tidak menetapkan sebarang tempoh akhir bagi ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, para wakil rakyat diharap segera melakukannya.

"Di waktu ini, kita tidak bagi tempoh masa. Tapi saya harap mereka akan isytihar secepat mungkin," katanya, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas menutup seminar 'Juara-juara Antirasuah: Sesi Perkongsian dengan Pemenang Anugerah Cemerlang Antirasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani 2018' di sini pada Isnin.

Turut hadir, timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Peguam Negara Qatar Dr Ali Fetais Al Marri, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai 13 anggota Parlimen yang belum mengisytiharkan harta seperti terdapat di dalam Portal Pengisytiharan Harta sehingga jam 5 petang Ahad, termasuk Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACA: Anwar antara 13 belum isytihar harta

BACA: Isytihar aset: Saya ada masa tiga bulan - Anwar Ibrahim

Sementara itu, menyentuh isu rasuah di Timur Tengah, Dr Mahathir berkata secara peribadi beliau berpendapat beberapa negara Islam tidak mengikuti ajaran agama sebagai amalan dan garis panduan standard dalam kehidupan mereka.

"Sekiranya mereka mengikutinya, kuranglah rasuah. Satu dosa jika anda melakukan rasuah. Anda bersembahyang, berpuasa namun dalam hal ini, anda mengambil ringan, seolah-olah ia betul, boleh mengambil rasuah, tidak ada apa yang berlaku," tambahnya.

Secara amnya, katanya, dalam isu-isu rasuah, yang paling penting ialah budaya dan nilai rakyat apabila berdepan sebarang perkara berkaitan rasuah.

Beliau berkata, ada beberapa negara yang bebas rasuah sementara ada negara yang rakyatnya menerima rasuah sebagai perkara biasa.

"(Di) sesetengah negara (ia) sangat biasa untuk membayar sesuatu bagi membolehkan sesuatu perkara dilaksanakan.

"Apa yang kita mahu lakukan ialah mengajar rakyat kita bahawa rasuah merupakan jenayah terhadap negara dan semua orang.

"Jadi, apabila mereka memahami apa yang mereka lakukan itu adalah jenayah dan perlu dihukum mengikut undang-undang, saya fikir mereka boleh mengurangkan rasuah," katanya menurut Bernama.

Dr Mahathir juga yakin, adalah sukar untuk mengurangkan rasuah dalam sesebuah negara apabila pemimpin atau kepimpinan tertinggi terlibat dalam amalan itu.