"Saya tidak ada musuh dalam parti, itu kunci utama kemenangan saya."

Itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Kubor dari Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail yang menyifatkannya elemen paling penting selain sokongan luar jangkaan yang menjadi faktor kemenangannya.

"Paling penting dalam parti tidak ada musuh, itu kunci utama yang saya lihat.

"Sokongan luar jangkaan itu turut menjadi faktor dan saya fikir perlu dekatkan diri kepada semua tanpa mengira parti," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Mat Razi mengalahkan dua lagi calon daripada PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Ia sekali gus menjadikan BN mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan dengan penambahan majoriti kepada 2,635.

Dalam pada itu kata Mat Razi, antara perkara awal yang akan dilakukan adalah membantu penduduk di kawasan itu.

Jelasnya, bantuan diteruskan mengikut perancangan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang meninggal dunia pada 20 Ogos lepas.

"Mereka patut ditolong. Kita mohon bantuan semua pihak dan kementerian berkenaan untuk membangunkan Pangkalan Kubor.

"Untuk perancangan awal, saya tidak fikirkan lebih, saya akan rujuk kepada Perhubungan UMNO. Apa yang penting, legasi Allahyarham akan diteruskan," jelasnya.

Kata Mat Razi lagi, musyawarah dan perbincangan akan diteruskan dan kejayaan adalah hasil kerja keras jentera parti dari mula sehingga akhirnya.

Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi apabila pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang Khamis.

Keputusan diumum di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Biji Wangsa, Tumpat.