Tidak fasih 'speaking' bererti tidak pandai?

Tidak fasih 'speaking' bererti tidak pandai?
Faiz Subri seorang atlet kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara dan percubaan beliau untuk berbahasa Inggeris harus dipuji.
Faiz Subri telah mencipta sejarah buat Malaysia – menjadi rakyat Malaysia yang pertama merangkul anugerah Puskas – anugerah yang dikurniakan kepada mereka yang telah melaksanakan jaringan gol terhebat untuk tahun tersebut.

Pencapaiannya telah meletakkan Malaysia di peta global bola sepak, setara Brazil, Portugal, Turkey, Slovakia, Sweden dan Colombia – pemenang tahun-tahun yang lalu.

Bintang bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo merupakan pemenang pertama anugerah berprestij ini.

Walaupun Faiz Subri telah mengharumkan nama negara, ada sesetengah rakyat Malaysia yang telah memperlekehkan kebolehannya berbahasa Inggeris.

MESTI BACA: Rakan sekampung bangga kejayaan Faiz Subri 


Ucapan kemenangan Faiz Subri di Zurich

Adakah kebolehan berbahasa Inggeris merupakan kayu ukur kebijaksanaan di Malaysia?

Kenapakah apabila terdapat rakyat Malaysia yang tidak dapat berbahasa Malaysia dengan baik, tiada kecaman yang sama dibuat?

MESTI BACA: Pertikai kemampuan Faiz Subri berbahasa Inggeris, netizen bidas penulis portal 


Bahasa Inggeris tidak menjadi bahasa sedunia secara mendadak.

Catatan sejarah mencatitkan tamadun-tamadun dunia muncul dan lenyap, tetapi tamadun-tamadun ini meninggalkan banyak warisan dan salah satu daripadanya ialah bahasa.

Sewaktu era kegemilangan Islam di antara kurun-kurun ke 8 hingga 13 Masihi, bahasa Arab muncul sebagai bahasa utama dunia.

Apabila Asia Tenggara didominasi pengaruh Hindu-Buddha, Sanskrit diangkat sebagai bahasa golongan elit.

Lagipula, apabila Srivijaya dan Melaka menguasai rantau kepulauan Melayu, bahasa Melayu dijadikan lingua franca atau bahasa perdagangan rantau ini – sekarang merupakan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia (sebagai Bahasa Indonesia).

Seiring dengan peredaran zaman, bahasa Inggeris mula menular ke serata dunia sewaktu zaman keemasan Empayar British yang turut merangkumi Malaya, Sabah dan Sarawak.

Bahasa Inggeris digunakan dengan meluas di dalam perdagangan global serta di dalam penulisan-penulisan keilmuan.

Sehingga kini, bahasa Inggeris rata-rata dianggap sebagai bahasa elit termasuk di negara kita sendiri.

Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri, dikerumuni petugas media dan peminat sewaktu keluar dari balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 Januari 2017. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

[ALBUM FOTO] Faiz Subri disambut meriah di KLIA 

Apabila Malaysia (dahulunya Malaya) mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Bahasa Inggeris kini adalah bahasa kedua negara serta merupakan alat komunikasi penting di samping Bahasa Malaysia.

Perkembangan pesat negara dipacu menerusi penggunaan dua bahasa ini yang telah menyatukan Malaysia.

Di sebalik kepentingan Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, iaitu bahasa kebangsaan negara, yang menjadikan rakyat Malaysia itu, seorang rakyat Malaysia.

Apabila Faiz Subri tidak dapat menyampaikan ucapan dengan baik dalam bahasa Inggeris sewaktu anugerah Puskas di Geneva pada 10 Januari 2017, beliau dikritik hebat oleh seorang wartawan sebuah portal berita tempatan, Terence Netto menerusi artikelnya ‘If only Faiz could Speak’.

Adalah tidak memeranjatkan bahawa terdapat sesetengah netizen yang bersetuju dengan pandangan Netto.

Bagi kumpulan warga Malaysia ini, bahasa Inggeris dilihat sebagai kayu ukur kebijaksanaan.

Yang peliknya, sewaktu Tan Sri Tony Fernandes, orang kuat Air Asia, dengan tiada segan silu menyatakan pada dunia yang beliau tidak bertutur di dalam bahasa Melayu, tiada kritikan yang dibuat ke atas beliau walaupun bahasa Melayu (bahasa Malaysia) adalah bahasa kebangsaan Malaysia.

Selain itu, Ahli Parlimen (MP) Kuching, YB Chong Chieng Jen enggan berbahasa Malaysia sewaktu sesi debat di Parlimen pada November 2015.

Sekiranya beliau berbahasa Malaysia sekalipun, penguasaan bahasanya adalah lemah dan tidak menggambarkan beliau seorang MP Malaysia – negara yang mengangkat bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Adalah tidak menjadi suatu kejutan sekiranya terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di luar sana yang tidak dapat bertutur dengan baik dalam bahasa Malaysia walaupun negara telah mencapai kemerdekaan selama 60 tahun.

Harus diingat, taraf kewarganegaraan yang diberikan kepada kaum-kaum imigran sewaktu kemerdekaan adalah hasil tolak ansur dengan syarat, salah satunya, bahasa Malaysia dijadikan bahasa kebangsaan.

Di seberang Laut China Selatan, ramai individu berketurunan Tiong Hua di Brunei tidak diberikan kerakyatan di negara tersebut dan kekal sebagai ‘individu tidak bernegara’.

Brunei mengenakan syarat yang sangat ketat untuk pengiktirafan kewarganegaraan menerusi ujian bahasa Melayu dan adat resam Melayu yang rumit.

Di seberang Tambak Johor pula, Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong setiap tahun pasti akan menyampaikan ucapan hari kebangsaan negara republik itu di dalam bahasa Melayu, yang merupakan salah satu bahasa kebangsaan Singapura.

MESTI BACA: Kehebatan seorang budak kampung yang kini disanjung di pentas dunia FIFA 

Penguasaan bahasa Melayu beliau adalah lebih bagus dari sesetengah rakyat Malaysia dan pastinya memalukan banyak MP dan ADUN Malaysia – terutamanya yang tidak fasih berbahasa Malaysia.

Di manakah komen-komen kutukan yang sering dibuat ke atas rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Inggeris?

Bukankah rakyat Malaysia yang tidak dapat berbahasa Malaysia dengan baik patut menerima kritikan dan kutukan juga?

Kenapakah adanya layanan dwi-standard di antara kedua-dua bahasa ini?


Kesimpulan
Faiz Subri adalah seorang atlet kebangsaan dan penguasaan bahasa Inggeris bukanlah suatu keperluan dalam kerjayanya.

Beliau telah mengharumkan nama negara dan percubaan beliau untuk berbahasa Inggeris harus dipuji.

Banyak selebriti terkenal dunia seperti Antonio Banderas, Celine Dion dan Cristiano Ronaldo tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik di awal kemunculan mereka.

Adakah penduduk-penduduk Sepanyol, Kanada dan Portugal masing-masing mengutuk mereka sepertimana sesetengah rakyat Malaysia mempertikaikan bahasa Inggeris Faiz Subri?

Walaupun penguasaan bahasa Inggeris rakyat Malaysia diperlekehkan golongan yang merasakan mereka boleh bertutur bahasa Inggeris lebih baik daripada orang-orang Inggeris sendiri, portal berita Inggeris atas talian ‘The Independent’ menyenaraikan Malaysia dikalangan negara-negara top 15 yang bertutur bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua terbaik.

Agak pelik dan menjengkelkan apabila terdapat sesetengah rakyat Malaysia yang suka memperkotak-katik secara berlebihan, kononnya merekalah yang paling bijak di dunia.

Adalah menyedihkan juga apabila rakyat Malaysia tidak meronta-ronta kemarahan dengan memberikan kecaman hebat ke atas rakan sewarganegara yang tidak berupaya bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik.

Kenapa seseorang itu dikritik hanya apabila bahasa Inggerisnya tidak memuaskan?

Faiz Subri adalah seorang hero kebangsaan dan kejayaannya tidak patut digerhanakan hanya kerana penguasaan bahasa Inggerisnya yang dikatakan kurang baik.

Bahasa Inggeris hanyalah suatu bahasa dan tidak sepatutnya digunakan sebagai kayu ukur kebijaksanaan manusia.


*Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah and Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia and seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.

** Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.