Tidak wujud perancangan Projek IC (kad pengenalan) di Sabah melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau jabatan serta agensi kerajaan negeri, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata ada perbuatan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh individu sama ada yang berada di dalam atau di luar JPN ketika itu, namun tindakan proaktif telahpun diambil terhadap individu berkenaan secara perundangan.

"Tindakan telah diambil lebih awal sebelum wujudnya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) apabila 94 orang pelaku kesalahan ditahan pada ketika itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Maknanya tindakan proaktif telah dilakukan oleh pihak kerajaan.

"Dalam hal ini, saya meminta semua pihak agar berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kami di Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan persekutuan dan negeri secara ikhlas bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang wujud," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Pusat Tahanan Sementara (PTS) pendatang tanpa izin (PATI) di Kimanis hari ini.

Ahmad Zahid juga menjelaskan penduduk warganegara Malaysia di Sabah adalah lebih rendah berbanding penduduk warganegara Malaysia di Sarawak.

Katanya berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan 2010, jumlah keseluruhan penduduk di Sabah, termasuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia yang memiliki dokumen sah dan PATI ialah 3.2 juta orang.

Bagaimanapun daripada jumlah 3.2 juta orang itu, penduduk warganegara Malaysia di Sabah cuma 2.511 juta orang, berbanding Sarawak 2.6 juta orang.

Berdasarkan jumlah 3.2 juta orang penduduk di Sabah itu, jumlah rakyat asing di Sabah, termasuk yang memiliki dokumen dan dibenarkan bekerja di negeri itu dan PATI ialah kira-kira 700,000 orang.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, pihaknya sukar menganggarkan bilangan sebenar PATI di Sabah kerana kehadiran mereka tidak didaftarkan namun jumlahnya di anggarkan sekitar 250,000 orang.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga menjelaskan bahawa sejak 1990, jumlah rakyat asing, kebanyakannya dari Filipina dan Indonesia, yang dihantar balik ke negara asal ialah kira-kira 401,000 orang dan untuk tahun 2014 sahaja, sehingga Okt, jumlah yang dihantar balik ialah 17,434 orang.

Katanya usaha mengesan dan menangkap PATI di Sabah akan dilakukan secara berterusan dan bukan bermusim selain terus menambah baik sebarang kelemahan bagi memastikan usaha menangani isu berkenaan dapat dijayakan.

Mengenai cadangan menambah bilangan pusat tahanan imigresen di Sabah serta menambah kapasiti PTS sedia ada, Ahmad Zahid berkata perkara itu sedang dipertimbangkan kerajaan.

Mengulas mengenai kerjasama yang diberikan oleh negara Filipina dan Indonesia bagi menangani isu PATI di Sabah, Ahmad Zahid berkata kerjasama yang diberikan setakat ini memuaskan, hasil perbincangan yang dilakukan Wisma Putra dengan negara tersebut.