MASIH ingat ayat ‘sila duduk dan jangan lari’? Peringatan itu sindiran mesra Yang Di-Pertuan Agung ke-15, Sultan Muhamad V, sebelum memulakan ucapan titah diraja, pembukaan Parlimen penggal ke-14.

Sindiran itu lebih diingati rakyat, tetapi konsep dan kefahaman mengenai ucapan titah diraja ini masih kurang dihayati oleh rakyat.

Pada 11 Mac ini, Parlimen akan mula bersidang. Ini merupakan persidangan penggal kedua Parlimen selepas pilihan raya umum ke-14. Secara tradisinya, pembukaan Parlimen ini dimulakan dengan ucapan titah diraja.

Maka, apa yang dimaksudkan dengan ucapan titah diraja?

Amalan ini diambil daripada Parlimen Britain iaitu ‘Throne speech’ yang telah dimulakan sekitar abad ke-16.
Ucapan ini disampaikan oleh ketua negara kepada semua Ahli Parlimen dalam memaklumkan dasar-dasar dan perancangan kerajaan untuk tempoh tertentu.

Dalam konteks Malaysia, Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang Di-Pertuan Agong boleh memberi Titah Diraja, dalam mana-mana majlis dewan atau kedua-duanya sekali, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Amalan Titah Diraja ini dimulakan pada tahun 1959 oleh Yang Di-Pertuan Agung Pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad.

Persoalan yang sering timbul dalam kalangan orang awam, adakah titah ini dikarang oleh baginda sendiri?
Sebenarnya, kandungan Titah Diraja ini disediakan oleh jemaah menteri dengan meletakkan fokus dasar dan perancangan kerajaan sepanjang tahun tersebut. Sebab itu, ucapan ini juga digelar sebagai ‘ucapan dasar’ kerana ia memberi maklumat mengenai perjalanan pentadbiran jemaah menteri.

Selepas ucapan ini selesai, Ahli Parlimen akan membahaskan kandungan ucapan Titah Diraja. Mereka akan berbahas sekurang-kurangnya selama lima hari, diikuti sesi pergulungan menteri, bagi menjawab segala isu dibawa Ahli Parlimen semasa perbahasan.

Ahli Parlimen juga mempunyai kuasa untuk meminda ucapan titah diraja. Sekiranya terdapat kesalahan atau dasar yang tidak jelas, berdasarkan hemat Ahli Parlimen perlu dipinda, maka mereka boleh membuat usul untuk meminda ucapan tersebut.

Di Britain, ketua pembangkang 'House of Commons', Jeremy Corbyn membawa usul meminda Titah Diraja kerana tidak bersetuju dengan dasar kerajaan konservatif meletakkan cap siling satu peratus kepada gaji penjawat awam bukan sahaja memperlihat amalan sebenar mengkritik dasar kerajaan dalam Titah Diraja, tetapi turut memberi cadangan menambah baik dasar kerajaan.

Ramai pihak yang keliru, mengatakan Ahli Parlimen yang mengkritik Titah Diraja sebagai derhaka dan mengancam Institusi Diraja. Dakwaan ini sama sekali tidak benar, kerana ia hanyalah satu prosedur dalam mengkritik dasar dan kerja menteri, bukan peribadi Yang Di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun Ahli Parlimen tidak dibenarkan mengkritik peribadi dan kedudukan Raja atau Yang Di-Pertuan Agong mengikut Perkara 63 (5) Perlembagaan Persekutuan. Maka, ini bermaksud, mengkritik kandungan Titah Diraja berkaitan dasar kerajaan adalah satu perkara yang menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen dan bukan mengancam kedudukan Raja.

Kekeliruan ini sering kali dibawa oleh golongan yang membawa sentimen politik perkauman, tanpa fakta dan usul periksa yang jelas.

Ucapan Titah Diraja perlukan perubahan?

Prosedur amalan Titah Diraja perlukan perubahan bagi memastikan titah ini difahami dan berkesan dalam membicarakan soal dasar dan perancangan kerajaan.

Pertama, Perdana Menteri perlu diberi ruang untuk menjelaskan kandungan dasar kerajaan dalam Titah Diraja. Perdana Menteri Britain, umpamanya, akan menerangkan semula dasar kerajaan dalam ‘Queen's Speech’ kepada Ahli Parlimen sebelum perbahasan bermula. Amalan ini bagi memastikan perbahasan berikutnya jelas dan mempunyai objektif.

Berbeza pula di Parlimen Malaysia, tiada keterangan lanjut oleh Perdana Menteri mengenai dasar kerajaan sebelum perbahasan Titah Diraja bermula. Kelemahan ini menyebabkan terdapat Ahli Parlimen menggunakan platform perbahasan sebagai ucapan politik, kerana tidak memahami dasar dan perancangan kerajaan.

Kedua, kerajaan harus mengangkat Titah Diraja sebagai ucapan dasar kerajaan. Kandungan ucapan perlu memberi petunjuk kepada strategi ekonomi kerajaan dan undang-undang yang mahu digubal atau dipinda, berbanding retorik politik semata-mata. Justeru, ia mengangkat kepentingan Titah Diraja, sama pentingnya seperti ucapan belanjawan tahunan.

Kaedah ini memberi penilaian lebih jelas kepada Ahli Parlimen untuk berbahas. Mereka juga perlu menjaga kredibiliti sifat neutral Yang Di-Pertuan Agong sebagai raja berpelembagaan dan tidak mengheret baginda dalam politik kepartian mereka. Perkara ini demi menjaga integriti dan kedaulatan Institusi Diraja dan Parlimen seperti yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Pembukaan Parlimen kali ini amat bermakna kerana dirasmikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke-16, yang ditabalkan pada 24 Januari 2019. Ucapan Titah Diraja tahun ini juga sudah menjangkau 60 tahun, seiring dengan usia Parlimen Malaysia.



* Fakhrurrazi Rashid adalah Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA)

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.