Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee untuk mencabar keputusan Ketua Pengarah Imigresen yang melarangnya ke luar negara.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah dalam penghakimannya berkata Pua tidak mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk meninggalkan negara dan melakukan perjalanan ke luar negara.

Beliau berkata semua warganegara tidak mempunyai hak secara automatik untuk meninggalkan negara dan dalam keadaan tertentu, kerajaan boleh menghalang warganegara daripada berbuat demikian.

Hakim berkata, di bawah Seksyen 3(2) Akta Imigresen, Ketua Pengarah hendaklah bertanggungjawab bagi kawal selia dan arahan mengenai semua perkara berkaitan imigresen di seluruh Malaysia.

"Di bawah Akta tersebut, ketua pengarah mempunyai kuasa tertentu untuk melarang seseorang daripada melakukan perjalanan.

"Keputusan untuk melarang pemohon (Pua) daripada melakukan perjalanan ke luar negara telah dilaksanakan oleh Ketua Pengarah Imigresen dan bukan oleh Ketua Polis Negara," katanya.

Pada 1 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi Pua mencabar perintah Ketua Pengarah Imigresen yang melarangnya meninggalkan negara.

Pua, yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, memohon pengisytiharan bahawa perintah larangan yang dikenakan ke atasnya pada 22 Julai, 2015 adalah menyalahi undang-undang dan tidak sah.

Selain memohon untuk membatalkan perintah tersebut, Pua juga memohon ganti rugi khas, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pua mendakwa bahawa perintah itu bertentangan dengan undang-undang dan melampaui kuasa responden kerana beliau tidak diberi sebarang notis atau peluang untuk didengar berhubung keputusan itu.

Beliau mendakwa bahawa keputusan itu tidak munasabah, tidak adil dan mala fide atau berniat jahat ke atasnya.

Pua berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2 ) untuk penerbangan ke Yogyakarta, Indonesia apabila beliau dihalang daripada meninggalkan negara.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, mewakili Ketua Pengarah Imigresen dan kerajaan sementara Pua diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo.