Pencapaian piawaian Halal Malaysia di peringkat antarabangsa amat membanggakan pada masa ini, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah katanya, banyak negara seperti Jepun, China, Arab Saudi dan Kemboja memerlukan khidmat dan kepakaran Malaysia dalam membangunkan ekonomi sistem halal mereka.

"Pengantarabangsaaan sistem Halal Malaysia terbukti apabila Perdana Menteri pada 17 November 2016 telah menawarkan khidmat kepakaran Malaysia berkaitan halal kepada Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dalam mempersiapkan keperluan makanan halal sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

"Negara besar seperti China turut menagih khidmat nasihat dan kepakaran Halal Malaysia untuk dicanaikan dalam pemetaan halal di China sejak tahun 2014 lagi," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Malaysia di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Mesyuarat itu merupakan yang pertama diadakan selepas cadangan pembentukan Majlis Halal Malaysia dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2016.

Ia turut membincangkan tiga kertas pertimbangan dan empat kertas makluman iaitu cadangan terma rujukan dan sekretariat tetap untuk Majlis Halal Malaysia, inisiatif membangunkan Dasar Halal Negara, hubungan dagangan Malaysia-China dalam industri halal, pelaksanaaan Halal Malaysia dalam beberapa kerangka termasuk pembangunan pensijilan, pembangunan standard, perkhidmatan akreditasi dan makmal ujian, penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan pembangunan industri halal.

Kata Ahmad Zahid lagi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi yang merupakan rakan dagang pertama dan kedua tertinggi Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Barat turut berminat menjalinkan kerjasama bagi membangunkan ekonomi sistem halal.

"Lawatan rasmi Raja Arab Saudi baru-baru ini dapat dimanfaatkan secara optimum berdasarkan strategi pembangunan ekonomi baharu yang tidak hanya tertumpu kepada sektor minyak dan petroleum semata-mata serta persetujuan yang dicapai di Malaysia dalam pembangunan produk dan barangan halal," kata Ahmad Zahid.

Tambahnya, penyaluran khidmat nasihat dan kepakaran Halal Malaysia kepada negara-negara luar bukan sahaja membuka ruang perniagaan kepada usahawan tempatan, malah ia mampu menjadi medan dakwah dalam mempromosikan amalan kesederhanaan dalam Islam di serata dunia.

"Halal Malaysia telah mempunyai tempat di arena antarabangsa, namun, ia tidak boleh dijadikan tempat untuk kita terus berkeadaan selesa memandangkan banyak negara-negara yang sedang berusaha melangkaui kedudukan sebagai peneraju halal global seperti Indonesia, Brunei, Thailand dan lain-lain," ujarnya.