Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka tiba di Brunei Darussalam esok (2 September) dalam rangka lawatan rasmi dua hari.

Beliau yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah disusuli dengan Majlis Santapan Tengahari yang dihoskan baginda.

Selain itu, beliau juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakyat Malaysia di Brunei.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, lawatan ini akan membuka peluang untuk kedua-dua pemimpin memperkasakan hubungan dua hala dan kerjasama yang sedia ada.


“Lawatan ini juga membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar-dasar terkini kerajaan dan pendirian negara khususnya berkenaan isu-isu yang mempunyai manfaat bersama.

“Di samping itu, kedua-dua pemimpin juga akan turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama,” memetik kenyataan tersebut yang dikeluarkan hari ini.

Malah, lawatan ini juga bakal mengukuhkan keakraban Malaysia-Brunei seiring dengan perkenan Sultan Hassanal Bolkiah yang sudi mencemar duli sebagai ketua negara asing pertama mengadakan lawatan peribadi ke Malaysia bagi menyampaikan ucapan tahniah ke atas pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Ke-7.

Pada tahun 2017, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM4.9 bilion (USD1.14 bilion), menyaksikan pertumbuhan sebanyak 70 peratus berbanding RM2.88 bilion (USD0.67 bilion) pada tahun 2016.

Ia sekaligus menjadikan Brunei sebagai rakan dagang ke-35 terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ke-7 terbesar di kalangan negara-negara anggota ASEAN.