Penyunting visual Astro AWANI, Khairul Anuar Che Ramli, 33 tahun meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi Ahad di Hospital Ampang Puteri, selepas dimasukkan ke hospital sejak Khamis dan kemudian dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada petang Sabtu sebelum disahkan meninggal dunia kerana demam denggi berdarah.

Salah seorang sepupu Allahyarham berkata, beliau tidak menyangka demam biasa yang dialami sepupunya itu akhirnya membawa ajal.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam mengumumkan peningkatan kes denggi dan kematian disebabkan denggi dengan satu angka yang amat membimbangkan.

Menurutnya, sebanyak 29 kematian akibat denggi dilaporkan sejak Januari sehingga 22 Feb, iaitu peningkatan 263 peratus manakala sebanyak 16,383 kes denggi dilaporkan dengan peningkatan 316 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Tujuh negeri menunjukkan peningkatan iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Sabah, Melaka, Kelantan dan Sarawak.

Kementerian Kesihatan Malaysia turut melancarkan program Jom Hapus terhadap pembiakan nyamuk aedes secara serentak di 10 lokaliti tumpuan kes demam denggi di seluruh negara bermula 2 Mac.

Program ini membabitkan aktiviti gotong-royong bersama penduduk setempat, persatuan penduduk, pejabat kesihatan daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pasukan keselamatan, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pertahanan.

Kehilangan warga kerja Astro AWANI, Khairul Anuar Che Ramli memberikan impak yang mendalam kepada ahli keluarga Astro AWANI.

Justeru, Astro AWANI ingin mengetahui, sejauh manakah pemahaman anda terhadap demam Denggi? Dan adakah anda merasakan program pengasapan nyamuk (fogging) memadai dan berkesan untuk membunuh nyamuk di kawasan anda? Kongsi pandangan anda di dalam undian di bawah.