Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyatakan pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) merupakan perkhidmatan yang belum mampu dilakukan oleh mana-mana negara di dunia yang seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara tunggal yang mampu menyediakan perkhidmatan seumpama itu.
Beliau berkata, pengiktirafan daripada Bank Dunia dan badan antarabangsa membuktikan bahawa UTC merupakan satu kemudahan yang unik dan memainkan peranan penting dalam aktiviti harian orang ramai.
Jelasnya, perkhidmatan UTC yang dibuka selama tujuh hari dalam seminggu sehingga jam 9.00 malam itu juga membuktikan bahawa UTC merupakan satu-satunya perkhidmatan yang dibuka sepanjang minggu tanpa mengaplikasikan cuti di hujung minggu.
"UTC satu konsep penyampaian perkhidmatan yang belum mampu dilakukan dalam mana-mana negara di dunia, diiktiraf oleh Bank Dunia dan badan antarabangsa bahawa inilah satu-satunya sistem perkhidmatan yang terbaik kerana hampir semua agensi-agensi kerajaan yang penting boleh diletakkan dalam satu bumbung,"katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian UTC Tawau, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, barisan pemimpin negeri Sabah, serta turut dimeriahkan dengan kehadiran ribuan penduduk di sekitar Daerah Tawau.
Dalam majlis sama, Najib juga meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta untuk menaiktaraf Pasar Tanjung UTC bagi memudahkan peniaga melakukan rutin harian mereka dengan lebih selesa.
Najib turut menyatakan, Sabah tidak memerlukan parti pembangkang kerana selama ini kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) telah membuktikan pencapaian yang cemerlang dalam melaksanakan pembangunan di Sabah.
"Sebab itu kita tak perlu pada Warisan, tak perlu pada PKR, tak perlu pada DAP, mereka ini tidak ada jasa pada tuan tuan dan puan puan, yang ada jasa pada tuan tuan, yang berbudi, yang bekerja siang dan malam pada tuan tuan dan puan puan adalah Kerajaan Barisan Nasional,"katanya.