Kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat di sini, Isnin lalu, disahkan ada kaitan dengan klip video yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.

Polis kini telah mengenal pasti dan memburu tiga suspek, termasuk bapa saudara mangsa, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Mohd Kamal Zainal.

Sebelum ini, tiga video berdurasi kira-kira seminit setiap satu tular di media sosial, memaparkan mangsa yang dalam keadaan tidak berbaju dan dipukul menggunakan paip getah selepas dipercayai mencuri duit datuknya.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka sekitar 9.45 malam Isnin lalu oleh dua lelaki yang mendakwa menemui remaja berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah hentian bas di Ayer Keroh di sini.

Mangsa berusia 16 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas pihak hospital mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memberi bantuan pernafasan.

Dilaporkan terdapat dengan kesan lebam dan birat pada badan mangsa.

Mohd Kamal berkata mangsa dipercayai dibawa oleh tiga orang suspek berusia 32 hingga 38 tahun termasuk bapa saudaranya, dari Tangkak, Johor ke sebuah bengkel di Krubong, Melaka.


Polis percaya mangsa dipukul akibat perselisihan keluarga.

“Hasil soal siasat terhadap ibu mangsa yang berusia 42 tahun, katanya kali terakhir dia berjumpa anak lelaki tunggalnya itu ialah pada pagi Isnin lalu di rumahnya di Taman Tangkak Jaya, sebelum dia keluar bekerja.

“Ibunya kemudian menerima panggilan telefon daripada seseorang yang tidak dikenali memaklumkan anaknya berada di Hospital Melaka sekitar 9.45 malam,” Mohd Kamal memberitahu pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah Melaka Tengah petang tadi.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai untuk menghentikan penularan video berkenaan demi menjaga sensitiviti keluarga.

Orang ramai yang juga mempunyai maklumat tentang ketiga-tiga suspek yang berasal dari Tangkak dan Melaka itu diminta untuk menghubungi balai polis berhampiran.