Walau sesibuk manapun anda melayari dunia kerjaya, pastikan tetap membahagikan masa untuk keluarga tercinta kerana itu adalah penting untuk menyeimbangkan kehidupan.

Itu adalah antara intipati coretan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar, dalam sebuah warkah panjang berjudul 'Reflections' yang menyentuh tentang kisah hidup, minat dan kerjaya yang dilalui beliau.

Beliau yang kini memegang portfolio Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) setelah dilantik pada Jumaat lalu berkata, generasi muda perlu fokus kepada tugas yang diamanahkan dan melaksanakannya sebaik mungkin sekali gus dapat membina reputasi.

Bekas Senator itu menyampaikan pesan sedemikian, antara lain kerana mensyukuri peluang dan tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya sepanjang berkhidmat dalam pelbagai organisasi sepanjang 28 tahun lalu.

Jika semua tanggungjawab itu digalas dengan baik, bekas Senator itu berkata: “Malah pesaing anda juga akan menyedari dan menghargai pencapaian anda.”

Selain itu, beliau bercerita tentang hubungan bersama keluarga dan waktu kualiti yang dihabiskan bersama dalam beberapa kesempatan percutian, yang antara lain menekankan, negara ini mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik dan indah dan perlu dikunjungi.

Dalam coretan warkah itu, Tan Sri Abdul Wahid juga menyentuh sedikit tentang kisah dirinya yang menjadi pemandu Uber.

“Saya mahu alami sendiri bagaimana melakukan perkongsian kenderaan, supaya dapat memahami susah senang menyara hidup dengan teknologi terkini, dan untuk memberikan input kepada penggubal dasar,” ujarnya.

Beliau bercerita tentang jumlah jam yang dihabiskannya untuk membawa penumpang ke destinasi, serta pulangan ringgit yang diterimanya.

Beliau juga berharap agar pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memutuskan satu polisi yang terbaik untuk industri perkongsian kenderaan dan teksi.

Ikuti pautan berikut ini untuk membaca keseluruhan coretan Tan Sri Abdul Wahid Omar. Reflections: Tan Sri Abdul Wahid Omar on life, love and work