Hasrat seorang wanita mendapat keuntungan daripada projek ternakan ayam tidak kesampaian apabila ditipu seorang individu yang menawarkan pelaburan dalam projek berkenaan sehingga mengakibatkannya kerugian RM46,248.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, peniaga berusia 34 tahun itu, bersama kenalannya yang dikenali sebagai Andy, pada mulanya berjumpa dengan seorang lelaki dikenali sebagai Awai pada Februari 2017, sebelum ditawarkan melabur dalam projek itu.

"Pada Mac 2017, Andy beritahu mangsa jika mahu menjadi ‘sleeping partner’ untuk projek ternakan ayam bersamanya dan Awai, wanita itu perlu melabur sebanyak RM12,000 dan dia bersetuju," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, mangsa memasukkan wang ke dalam beberapa akaun yang diberikan oleh suspek, menjadikan jumlah keseluruhan wang yang dimasukkan sebanyak RM46,248.

"Selain untuk pelaburan, wang dimasukkan oleh mangsa juga adalah untuk perkara lain seperti membeli makanan ayam, beli anak ayam dan barang lain untuk ternakan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pada Ogos tahun lalu, Awai menghubungi mangsa memberitahunya projek ternakan ayam berkenaan mengalami kerugian dan kesemuanya ditanggung oleh suspek.

"Namun selepas itu, Awai berikan pelbagai alasan apabila mangsa bertanyakan tentang projek ayam berkenaan kerana mangsa tidak mendapat apa-apa pulangan daripada kerjasama itu.

"Mangsa yang tidak berpuas hati dan seperti ditipu, kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub di sini, semalam," katanya.

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek adalah memperdayakan mangsa dengan menawarkan pelaburan dalam projek ternakan ayam namun setelah pembayaran dibuat, suspek memberikan pelbagai alasan serta gagal dihubungi.

"Kita sudah merakam percakapan mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.