Seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Indonesia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana menggunakan Mykad milik orang lain untuk mengaburi pihak berkuasa dalam cubaan untuk memasuki daerah ini pada petang Jumaat lepas.

Lelaki berusia 27 tahun itu telah menunjukkan kad pengenalan atas nama Damsah Adam Malik beralamat di Kampung Simunul 91300 Semporna dengan nombor Mykad 921116-12-6999.

Komander PPM Wilayah Sabah ACP Mohamad Madun berkata sepasukan anggotanya yang bertugas dalam Op Landai telah menahan sebuah perahu di perairan Laut Sabindo kira-kira pukul 3 petang.

“Pemeriksaan awal terhadap perahu berkenaan mendapati seorang penumpang telah menunjukkan kad pengenalan milik orang lain dan hasil siasatan lanjut, lelaki berkenaan yang berasal dari Sulawesi ini telah memberitahu nama sebenarnya sekali gus mengaku bahawa kad pengenalan itu bukan miliknya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan lelaki berkenaan telah ditahan dan akan disiasat bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Dalam pada itu Mohamad berkata, pihaknya komited membanteras kemasukan PATI selaras dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan sifar PATI pada tahun 2020.

Menurutnya juga, PPM mengalu-alukan kerjasama semua pihak bagi menyalurkan sebarang maklumat berkaitan PATI ke arah menangani isu tersebut bersama-sama.