Pas Perak akan bertanding 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 ini iaitu pertambahan satu kerusi berbanding pilihan raya umum yang lalu.

Kerusi tambahan itu ialah DUN Changkat Jering yang sebelum ini ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kedudukan kerusi yang akan ditandingi oleh Pas itu diumumkan oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien dalam satu majlis di Markas Pas Kampung Permatang, Pasir Panjang, Manjung, malam tadi.

Pada masa sama, Abu Bakar turut mengumumkan pertukaran kerusi antara Pas dengan PKR.

"DUN Lintang yang dulunya milik PKR diberikan kepada PAS bertukar secara sepakat dengan DUN Kenering,” katanya seperti dipetik oleh Harakahdaily.

Pada majlis itu, Abu Bakar turut mengumumkan beberapa calon yang akan bertanding pada PRU13 ini termasuklah AJK PAS Pusat, Idris Ahmad yang diletakkan di Parlimen Bukit Gantang.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang sebelum ini disandang oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang menang pilihan raya kecil pada 7 April 2009.

Nizar pula diumumkan akan bertanding di DUN Changkat Jering dalam kawasan Parlimen berkenaan manakala calon Dewan Muslimat, Rohawati Abidin mengambil tempat Nizar di DUN Pasir Panjang.

Abu Bakar turut memaklumkan senarai calon lain akan diumumkan serentak bersama Pakatan Rakyat dalam satu majlis lain.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dalam satu majlis berasingan di Kuala Kangsar mengumumkan Khalil Idham Lim sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Dalam pilihanraya umum 2008, Pas menang 6 kerusi DUN manakala DAP menang semua 18 dan PKR menang 7.

Pakatan Rakyat kemudian membentuk kerajaan negeri dengan Nizar diperkenankan oleh Sultan Perak sebagai Menteri Besar.

Kerajaan negeri itu bagaimanapun bertahan 11 bulan selepas tiga ADUN Pakatan Rakyat, dua daripada PKR dan seorang DAP, bertindak keluar parti jadi wakil rakyat Bebas.

Episod itu berlarutan turun naik mahkamah sehinggalah Mahkamah Persekutuan dalam keputusan sebulat suara pada 10 Mei 2010 memutuskan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional sebagai Menteri Besar yang sah.