Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yakin Barisan Nasional (BN) dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas sekalipun ditandingi muka baharu.

Abdullah yang juga penyandang kerusi parlimen itu, berkata ini kerana calon yang dikemukakan BN iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merupakan anak tempatan yang turut mendapat sokongan dan kerjasama masyarakat setempat.

"Calon-calon yang dipilih adalah orang daripada Kepala Batas, orang tempatan bukan orang luar. Hanya orang kelahiran sini sahaja boleh diterima masyarakat di sini, bukan orang luar yang tidak pernah dilihat," katanya kepada pemberita, di sini malam tadi.

Abdullah sebelum itu memperkenalkan calon-calon yang akan bertanding kerusi Parlimen Kepala Batas dan tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN) di situ iaitu Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal.

Beliau diminta mengulas kenyataan pembangkang yang yakin dapat merampas kerusi parlimen berkenaan.

Abdullah merupakan penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal sejak 1979.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau menang dengan majoriti 23,445 undi mengatasi calon PAS Subri Md Arshad. Abdullah memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Selain itu, DUN Penaga dan Bertam juga masing-masing mengemukakan muka baharu iaitu Mohd Zain Ahmad dan Shariful Azhar Othaman. DUN Sungai Pinang akan dipertahankan penyandang Datuk Roslan Saidin.