Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak spekulasi kononnya beliau akan bertanding menentang Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa di Parlimen Putrajaya.
 
Sebaliknya, beliau tetap dengan keputusan beliau sebelum ini yang tidak mahu bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 ini.
 
Tun Mahathir menegaskan beliau akan membantu memenangkan calon Umno yang akan bertanding di kerusi tersebut.
 
Ini, ujar beliau sebagai tanda terima kasihnya kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana parti itu telah membawa beliau ke puncak kekuasaan hingga menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
 
“Apabila saya buat keputusan, saya tidak akan patah balik. Saya kata saya tak akan bertanding lagi dan saya takdak (tiada) niat nak bertanding atau nak jadi pemimpin lagi, cuma saya nak tolong Umno pasal dulu Umno dan Barisan Nasional tolong saya sehingga saya dapat jadi perdana menteri . Jadi orang yang dapat pertolongan mestilah berterima kasih dan saya cuba nak tolong Umno pasal saya nak lahirkan perasaan terima kasih saya kepada Umno dan BN.
 
Tun Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan Rakyat di Pendang.