Dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya kukuh dan relevan semata-mata bersandarkan kepada faktor individu bernama Tun Dr Mahathir Mohamad adalah kurang tepat.

Menurut Pengerusi Biro Polisi dan Strategi Bersatu, Datuk Rais Hussin, dalam satu persekitaran yang mana nilai-nilai sudah kehilangan kepentingannya (post-values ecology), Rais beranggapan tiada seorang individu atau ahli politik tunggal yang mampu menguasai segala-galanya.

"Suasana politik di Malaysia hari ini tidak lagi dibentuk sekumpulan manusia yang gagah, sekelompok masyarakat Melayu, Cina atau India yang sensitif, apatah lagi, oleh seorang individu atau kelompok yang mempunyai kuasa ekonomi di tangan mereka."

“Rakyat Malaysia mahukan perubahan, semata-mata kerana perubahan itu merupakan penyebut atau denominator yang sering digunakan terhadap kesemua isu, yang mana ia boleh dikumpulkan secara longgar, atau diklusterkan di bawah satu rubrik tunggal.”

Kenyataan itu dibuat Rais dalam tulisannya sebagai menjawap analisis kolumnis The Star, Joceline Tan bertajuk “Party riding on the coattails of Dr M” yang disiarkan hari ini.

Dalam artikel itu, Joceline berpandangan parti itu hanya relevan selagi mana Dr Mahathir kekal mengetuainya.

Mengulas lanjut, Rais berkata kumpulan pengundi lebih mementingkan isu, antara lain, seperti alam sekitar, pembaziran dana awam, kemasukan elemen agama yang keterlaluan dalam sistem pendidikan.

“Tarikh 9 Mei 2018 menyaksikan pembatalan terhadap kefahaman am, memandangkan hanya proses pemecahan pemikiran lama sahaja mampu mewujudkan persefahaman bagaimana Malaysia Baharu dapat dilahirkan,” jelasnya lagi.