Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa tindakannya membawa usul persendirian ke Dewan Rakyat adalah berdasarkan kemampuan kerajaan negeri Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah.

“Usul ini dikemukakan berdasarkan kemampuan kerajaan negeri berkait dengan undang-undang jenayah.

"Masih wujud masalah-masalah dalam Perlembagaan sekarang ini yang merupakan warisan daripada penjajahan British, dan itu perlu dibebaskan.

“Maka tindakan dan langkah yang boleh dibuat di bawah bidang kuasa kerajaan negeri telah diambil oleh Kelantan,” ujar beliau.

Kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, apabila PAS mengemukakan lebih dahulu pindaan Perlembagaan tersebut, ia bertujuan membolehkan kerajaan negeri mendahulukan serta melaksanakan kanun undang-undang jenayah dalam perkara yang tidak memerlukan majoriti dua pertiga.

“Perlembagaan Malaysia acap kali mengalami pindaan. Mengapa pindaan dalam perkara berkaitan Islam tidak dibuat?” ujar Abdul Hadi.

“Berkaitan dengan undang-undang jenayah, jangan kita fokus pada hudud sahaja. Undang-undang jenayah ini luas dan cabang-cabangnya banyak.

Jelas Abdul Hadi, dalam menggerakkan usaha tersebut, terdapat beberapa halangan yang perlu dihadapi, namun terdapat sudut dan peluang untuk membuat perubahan yang diperlukan.

“Kita (PAS) sedar hanya ada 21 kerusi dan itu tidak boleh meminda Perlembagaan. Maka, kita kemukakan pindaan ini yang menjadi ujian kepada orang Islam sama ada daripada PAS, PKR atau dari Barisan Nasional.

“Ini membolehkan orang Islam sendiri mengubah kedudukan mereka dalam Perlembagaan,” ujar Abdul Hadi.

Penjelasan Abdul Hadi itu mengulangi kenyataan yang dibuat pada Khamis lalu bahawa PAS membawa usul persendirian ke Dewan Rakyat hanya mengenai pindaan dalam Akta Mahkamah Syariah dan bukannya Rang Undang-Undang berkaitan hudud.

Kata Abdul Hadi, cadangan pindaan itu dibuat bagi membolehkan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang dibentang dan diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dilaksanakan terhadap orang Islam sahaja.