Pas menegaskan dakwaan bahawa beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pimpinan parti itu di Selangor akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah khabar angin semata-mata.

Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad berkata khabar angin berkenaan sengaja dicipta untuk menganggu persiapan Pas menghadapi pilihan raya umum yang dijangka berlangsung beberapa bulan lagi.

Katanya, ia juga bertujuan untuk mewujudkan kegusaran dalam kalangan anggota agar mereka hilang tumpuan.

"Saya sudah bercakap dengan ADUN Pas Selangor dan mereka amat terkejut dengan khabar angin itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah portal berita melaporkan jentera pilihan raya PKR Selangor diminta bersedia menerima gelombang kemasukan pemimpin dan anggota Pas di negeri itu termasuk untuk bertanding atas tiket parti berkenaan dalam PRU akan datang.

Kata Iskandar: "Sebarang berita berunsur spekulasi perlu diabaikan sahaja. Mereka tidak sepatutnya terperangkap dengan strategi musuh yang mahu persiapan pilihan raya Pas lumpuh.

"Musuh mahu melihat pimpinan dan anggota Pas curiga-mencurigai antara satu sama lain."

-– BERNAMA