Datuk Dr Dominic Lau dipilih sebagai presiden baharu Gerakan susulan pemilihan parti yang berlangsung hari ini.

Beliau yang sebelum ini merupakan naib presiden Gerakan menewaskan pencabarnya Andy Yong dengan majoriti hampir 300 undi.

Keputusan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Gerakan Tan Sri Dr Chin Fook Weng di sini.

Lau menggantikan Datuk Seri Mah Siew Keong yang berundur susulan kekalahan Gerakan di semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

"Misi kita ialah memastikan Gerakan berada di Parlimen selepas pilihan raya umum seterusnya (PRU15)...Ia kerja yang susah tapi kita percaya kalau kita bersatu hati kita dapat mengembalikan maruah parti pada PRU15," kata Lau kepada pemberita.

Jawatan timbalan presiden pula dimenangi pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong yang menewaskan Datuk A. Kohilan Pillay yang sebelum ini merupakan naib presiden manakala jawatan naib presiden pula kini disandang Baljit Singh, Choong Vee Hing dan Khoo Shiaw Lee.

Gerakan mengambil keputusan meninggalkan Barisan Nasional pada Jun lalu.

-- BERNAMA