Parti MIC dan MCA berkemungkinan keluar daripada Barisan Nasional (BN) sama seperti yang berlaku kepada komponen di Sarawak dalam beberapa situasi yang tidak dapat dielakkan.

Penganalisis politik Universiti Malaya, Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun berkata, dalam keadaan sekarang, kedua-dua parti itu dilihat lebih memerlukan BN untuk survival politik masing-masing.

"Saya lihat dalam konteks MCA dan MIC tidak ada perbezaan sama ada mereka keluar daripada BN ataupun tidak. Sebab dari segi itu, selama ini yang memberi kekuatan kepada MCA dan MIC adalah parti UMNO dan kebanyakan kerusi yang menang di kawasan MCA dan MIC itu disokong oleh penyokong UMNO dan pengundi Melayu.

"Jadi untuk mereka hendak keluar daripada BN, kemungkinan agak rendah tetapi tidak mustahil kerana selama ni ramai sertai BN sebab ada banyak kepentingan, ada jawatan, kontrak perniagaan, permit dan sebagainya.

"Namun apabila BN itu sudah jatuh di tangan PH, keistimewaan itu sudah tidak ada lagi berada di BN atau di pihak parti UMNO. Jadi sekarang ini kita lihat potensi itu ada, tidak mustahil ia berlaku, tetapi pada masa sama, kita lihat MCA dan MIC lebih memerlukan UMNO daripada UMNO memerlukan MCA dan MIC," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

BACA: Barisan Nasional 'terkubur' di Sarawak

BACA: Tiada lagi 'Nasional' dalam BN - Wee Ka Siong

BACA:
"Era UMNO 'menanggung' MCA sudah berakhir" - Annuar Musa

Beliau mengulas kemungkinan parti BN lain di semenanjung mengambil tindakan sama seperti berlaku kepada bekas parti komponen BN di Sabah dan Sarawak.


Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Ketua Pemuda UMNO dan BN, Khairy Jamaluddin menyeru rakan-rakan dalam komponen BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan agar tidak berkecil hati dengan keputusan diambil rakan mereka yang kini digelar Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ia turut disokong Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz yang mahu pemimpin-pemimpin parti komponen BN menerima hakikat jenama gabungan itu tidak lagi boleh dipasarkan.

BACA: 'Usah jadi seperti tuak dalam botol baharu tapi kandungannya lama' - Jeniri

Katanya, sukar untuk mempertahankan BN di Malaysia Barat apabila MCA, MIC dan Gerakan tidak lagi diterima rakyat.

UMNO kini masih merupakan parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 54 kerusi namun merosot daripada 88 kerusi pada penggal lepas.

MCA daripada tujuh kerusi kini tinggal satu kerusi dan MIC dari empat kerusi tinggal dua kerusi dan Gerakan pula tidak memperoleh sebarang kerusi.