Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini memberi amaran kepada parti-parti politik lain yang mempertikaikan kepimpinan MIC supaya jangan campur tangan masalah dalaman parti itu.

Beliau berkata demikian susulan beberapa parti mesra Barisan Nasional (BN) dan juga komponen seperti myPPP yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan kepimpinannya, ekoran kemelut parti itu yang berpanjangan.

Meskipun mengakui bahawa MIC masih mempunyai masalah dalaman yang belum diselesaikan, namun, katanya ini tidak bermakna pihak lain harus campur tangan.

“Semua parti politik ada masalah dalaman mereka sendiri dari masa ke masa. Tetapi salah satu prinsip dalam politik ialah parti-parti lain tidak campur tangan dalam perkara ini.

“Kalau satu parti ada masalah politik dan semua parti khususnya Barisan Nasional (BN) campur tangan, ia akan menggangu kekuatan BN.

“Saya dah beritahu MIC kita tidak akan melibatkan diri dalam isu dalaman parti lain. Saya tahu banyak parti ada isu dalaman. Tetapi kita tidak mahu terlibat.

“Jadi macam mana pendirian kita, kami berharap parti yang lain akan menghormati pendirian kita dan tidak campur tangan dalam isu MIC,” kata Subramaniam dalam satu sidang media selepas melancarkan Program perhimpunan Usahawan kecil wanita India Selangor di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau tidak ada halangan sekiranya parti-parti lain itu ingin memperkuatkan parti mereka sendiri, tetapi beliau berharap agar mereka tidak campur tangan dalam isu-isu berkaitan MIC.

Beliau merujuk kepada kejadian semasa sambutan ‘Unity Ponggal’ anjuran bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel baru-baru ini dimana parti myPPP, IPF dan Makkal Sakti sebulat suara menolak kepimpinan Subramaniam sebagai presiden sekaligus menyatakan pendirian tidak mahu menyokong parti tersebut.

BACA: Penyokong Palanivel failkan saman sivil terhadap Subramaniam

Turut senada ialah Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri Kenneth Eswaran yang mendakwa Subramaniam mengelirukan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan maklumat yang tidak tepat mengenai keadaan parti serta komuniti India.