Kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji bagaimana kerajaan dapat melaksanakan janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas yang masih belum tertunai.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH berkata demikian pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini, hari ini.

"Kita sebenarnya berjaya melaksanakan banyak janji-janji kita, tetapi kita tidak pandai promosi dan maklumkan kejayaan kita kepada rakyat.

"Bukan hanya mengikut manifesto, tetapi bukan janji manifesto pun kita laksanakan," katanya.

Tambahnya, jawatankuasa khas itu akan mengkaji dengan syarat tertentu akan pelaksanaan manifesto PH.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, mesyuarat tersebut turut bersetuju supaya penglibatan penjawat awam dalam politik dikaji semula.

"Perkhidmatan awam adalah perkhidmatan yang profesional. Sekiranya ia dikaitkan dengan mana-mana parti politik, ia tidak dapat melaksanakan tugas-tugasnya dengan baik.

"Mereka (penjawat awam) perlu menjadi neutral. Jadi, faktor ini akan dikaji sama ada antara mereka ini ada yang boleh menyertai (parti politik),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata PH akan mengadakan karnival Harapan Rakyat di setiap negeri tanpa menyatakan butiran lanjut berkaitan karnival itu.