Parti Amanah Negara (Amanah) yakin jenteranya dapat menangkis sebarang fitnah mahupun serangan yang dikenakan ke atas calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, kerjasama erat Pakatan Harapan diharap mampu menghadapi 'peperangan siber' yang dijangka terus hangat menjelang hari membuang undi yang dijadualkan 9 Mei ini.

"Kita sudah pertingkatkan orang yang bekerja dengan kita untuk membuat serangan balas.

"Kalau bab peperangan digital, memang Pakatan Harapan menguasai medan ini," katanya pada satu sidang media selepas memperkenalkan calon-calon Amanah yang akan mewakili gabungan Pakatan Harapan Kedah di Hutan Kampung pada Khamis.

Bercakap soal pemilihan calon Amanah, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengakui, tidak semuanya dipersetujui 100 peratus.

BACA: Amanah umum 13 calon tanding di Kedah

"Memang mana-mana calon pun takkan dapat sokongan 100%. Tak kira di peringkat akar umbi, Amanah pun akan berbeza pandangan. Tetapi, bila diputuskan, inshaAllah mereka akan menerimanya.

"Bukan Amanah saja, semua parti begitu. Bila sudah diputuskan oleh parti, maka semuanya bekerja mengikut pemimpin yang telah dipilih," katanya.

Amanah meletakkan tiga calon Parlimen dan 10 calon Dewan Undangan Negeri di Kedah.