Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan yang dibuat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kedah yang menyokong pelantikan Speaker wajar dihormati.

Katanya, keputusan yang dibuat mereka telah pun direstui oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

"Tentunya keputusan itu adalah keputusan parti," jawabnya ringkas ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di ibu negara, hari ini.

Sebelum ini, Pemuda UMNO Kedah kecewa dengan tindakan tiga ADUN BN yang menyokong pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah daripada Pakatan Harapan (PH) awal Rabu.

Ketua Pemudanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan tiga ADUN berkenaan adalah tidak wajar dan dianggap tidak menitikberatkan sentimen UMNO sekali gus boleh menghancurkan hati anggota dan pejuang parti tersebut.

Tiga ADUN BN iaitu Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) dan Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang) menyatakan bahawa mereka memberi undi kepada calon PH demi kepentingan rakyat di negeri ini dan mengelak daripada berlakunya pilihan raya negeri (PRN).

Bagaimanapun, sokongan itu tidak bermakna mereka menyertai PH tetapi tetap setia bersama UMNO demi kepentingan rakyat di negeri ini dan memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.