Sikap membisu penasihat DAP Lim Kit Siang mengenai skandal Bumiputra Malaysia Finance Limited (BMF) membuktikan bahawa kepak politiknya telah dipangkas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata adalah sesuatu yang aneh apabila Kit Siang, yang sebelum ini begitu lantang mengkritik Dr Mahathir berhubung skandal melibatkan berbilion ringgit itu, kini bersikap membisu setelah mereka sama-sama berada dalam Pakatan Harapan.

Apa yang memeranjatkan ialah, seseorang yang suatu ketika dahulu begitu marah dengan perkara berkaitan BMF-Carrian dan menerbitkan dua buku pada 1983 dan 1986 bagi mengutuk Dr Mahathir, kini senyap sunyi seolah-oleh beliau telah kecut perut,' katanya pada sidang akhbar di sini.

BACA: Penjelasan Mahathir mengenai skandal BMF buktikan sikap hipokrit beliau - Salleh

BACA: Kenyataan Mahathir berhubung pendedahan laporan CIA mengenai skandal BMH 1983 tidak munasabah - Salleh


Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat baru-baru ini mengeluarkan dokumen terkelas yang menyebut bahawa kerajaan Malaysia di bawah pimpinan perdana menteri paling lama mentadbir itu terbabit dengan skandal kewangan paling besar yang pernah disaksikan Malaysia pada 1980-an.

Sebagai respons terhadap perkara itu, Dr Mahathir, melalui tulisan dalam blognya, antara lain berkata, dokumen berkenaan bertujuan memburukkan namanya kerana beliau mengkritik Amerika Syarikat, manakala Lim pula dilaporkan media sebagai berkata bahawa tiada sesuatu yang baharu mengenai skandal itu.

Merujuk kepada kenyataan Kit Siang dalam satu laporan baru-baru ini bahawa pendiriannya tentang skandal itu kekal seperti yang beliau tulis dalam buku berkenaan, Tunku Aziz menggesa Lim supaya mengisytiharkan pendiriannya tentang isu kewangan itu demi kepentingan ketelusan.

Mengenai hubungan DAP dan PAS, beliau menasihati PAS supaya berhati-hati dengan DAP.

"Kami tahu kenapa DAP mahu menjalin hubungan dengan PAS dan PKR iaitu kerana mereka mahukan sokongan orang Melayu dan itulah tujuan utamanya, lupakan sahaja cakap-cakap untuk menyelamatkan Malaysia, seseorang itu boleh menyelamatkan Malaysia tanpa sokongan daripada DAP, tapi persoalannya ialah untuk menyelamatkan Malaysia daripada siapa?" katanya.

-- BERNAMA