Jorge Masvidal berjaya meraih gelaran BMF selepas mengalahkan rakan senegaranya, Nate Diaz dalam aksi UFC 244 di Madison Square Garden, New York, pada Ahad.

Petarung Amerika Syarikat itu memperoleh kemenangan selepas doktor mengarahkan untuk menghentikan perlawanan (doctor stoppage) selepas pusingan ketiga, susulan luka teruk di bahagian kening kanan Diaz.

Keputusan itu bagaimanapun menimbulkan kontroversi serta perasaan tidak puas hati dalam kalangan komuniti sukan seni bela diri campuran (MMA).

Berikutan itu, kedua-dua petarung bersetuju untuk mengadakan pertarungan ulangan (rematch) di masa hadapan.

“Saya bersumpah, kita akan lakukannya sekali lagi. Saya tak suka tinggalkan gelanggang dalam keadaan macam ni. Saya tak sempat nak ‘baptis’ dia (Diaz),” kata Masvidal, 34, dalam temubual selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Diaz, 34, dalam temubualnya turut menyatakan perkara sama.

“Kita akan lakukannya sekali lagi. Jangan risau, ia akan berlaku lagi.

“Saya tak sangka mereka akan hentikan perlawanan itu. Saya baru saja nak bermula. Bagaimanapun dia (Masvidal) dah laksanakan tugasnya, tetapi saya akan kembali untuk kamu (Masvidal).

“Berikan saya masa untuk sembuh dan jom kita lakukan (bertarung) sekali lagi,” katanya.

Pertarungan berlangsung hebat sepanjang pusingan pertama hingga ke pusingan ketiga.

Bagaimanapun luka di bahagian kening Diaz akibat hentakan siku oleh Masvidal, diikuti tendangan padu ke bahagian tersebut mengakibatkan pendarahan teruk di muka Diaz.

Keadaan itu memaksa doktor menghentikan perlawanan.

Ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut untuk Masvidal, di mana kemenangan kali terakhirnya ialah dengan Ben Askren menerusi ‘knockout’.

Dalam pertarungan itu, Masvidal hanya memerlukan masa 5 saat untuk menamatkan pertarungan menerusi serangan ‘lutut terbang’ yang sekali gus merebahkan bekas juara Bellator dan ONE itu.

BACA: Bekas juara ONE Championship, Ben Asken tewas dalam 5 saat

BACA: UFC 241: 'Berehat' selama tiga tahun, Nate Diaz kembali dan menang bergaya

Untuk rekod, tali pinggang BMF merupakan gelaran yang pertama kali dipertaruhkan oleh UFC.

Ia bukanlah gelaran untuk apa-apa kejuaraan dunia, tetapi hanya salah satu cara UFC untuk mempromosikan pertarungan ini.

Sungguh pun begitu, ia tidak menghalang peminat untuk teruja melihat pertarungan tersebut.

Apa yang menarik, tali pinggang bernilai AS$50,000 (RM208,230) ini telah disarungkan sendiri oleh bintang Hollywood dan bekas bintang WWE, Dwayne ‘The Rock’ Johnson.

Turut hadir untuk menyaksikan acara ini ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.