Mesyuarat Agung Khas myPPP pada Ahad memutuskan untuk meminda perlembagaan parti itu bagi membolehkan myPPP di Sabah dan Sarawak masing-masing berfungsi sebagai wilayah sendiri, tanpa campur tangan pentadbiran dari myPPP di Semenanjung.

Presiden parti Tan Sri M. Kayveas berkata di bawah pindaan perlembagaan itu myPPP di Sabah dan Sarawak akan mempunyai seorang naib presiden dan lima orang wakil sebagai anggota majlis tertinggi parti dan kedua-dua negeri itu akan menubuhkan jawatankuasa parti sendiri.

"Jadi kita (myPPP) pinda dalam perlembagaan kita untuk tambah lagi satu artikel bagi Sabah dan Sarawak sebagai satu 'region' - 'region' satu untuk Sarawak, 'region' dua (untuk) Sabah dan 'region' tiga Semenanjung Malaysia.

"Bukan myPPP masuk sana, tetapi mereka (rakyat Sabah dan Sarawak) yang mahu myPPP ke sana, myPPP sudah ada lama di sana, dalam lima atau enam tahun, tetapi strukturnya tidak betul dalam perlembagaan.

"Jadi kita pinda perlembagaan," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Setakat ini myPPP di Sabah baharu sahaja dibentuk semula manakala myPPP di Sarawak mempunyai 67 cawangan, katanya.

Sementara itu, Kayveas berkata myPPP tidak punya isu berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh kerana pilihan raya adalah mengenai kuasa rakyat mengundi.

"Anda boleh menandakan kawasan mengikut apa cara yang anda mahu, saya tidak teruja. Ini sama ada rakyat mengundi pihak sebelah sini atau sebelah sana," ujarnya.

Mengenai perkara lain, Kayveas berkata myPPP tidak akan membuat protes terhadap Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibentang oleh PAS di Dewan Rakyat baru-baru ini oleh kerana ia hanya menyentuh orang Islam.

Kepada satu soalan, Kayveas menyatakan kesediaannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 sekiranya diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

"Kalau dapat peluang, mengapa tidak? Kalau BN ada kerusi dan berpendapat saya perlu bertanding, saya boleh menang, tidak ada isu," katanya sambil memaklumkan myPPP telah bersedia menghadapi PRU Ke-14 pada bila-bila masa untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN. -- BERNAMA