Pas akan terus kekal berkhidmat untuk Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia susulan keputusan yang dicapai oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat hari ini untuk tiga Exco Kerajaan Negeri Selangor dari Pas terus kekal dalam pentadbiran negeri selagi tiada titah dari Sultan Selangor.

Pendirian diumumkan Pemangku Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Ibu Pejabat parti di Kuala Lumpur pagi ini.

"Mereka (Exco) akan terus berkhidmat kerana kita inginkan urusan pentadbiran negeri berjalan lancar," kata Tuan Ibrahim.

Mengulas mengenai kemungkinan13 Ahli Dewan Undangan Negeri Pas untuk berundur dari Kerajaan Selangor, Tuan Ibrahim dan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, Biro Politik PKR telah meminta ahli PKR yang menerima lantikan politik di Kelantan untuk meletakkan jawatan setelah Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Pas pula berpendirian tiada keperluan bagi ahli PKR untuk melepaskan jawatan kerana lantikan yang dibuat adalah oleh Kerajaan Kelantan yang mengambil keputusan untuk mengekalkan mereka.

Selain itu, Tuan Ibrahim turut menyatakan bahawa Gagasan Sejahtera akan mengadakan satu majlis dalam masa terdekat untuk mengisytiharkan parti-parti politik lain yang akan menyertai kerjasama tersebut.