Parti PAS telah menyenaraikan tiga tuntutan terhadap portal berita Sarawak Report dalam satu surat tuntutan rasmi berhubung laporan yang mengaitkan parti itu menerima ‘imbuhan’ RM90 juta dari kepimpinan UMNO.

Menurut laporan Harakahdaily yang memetik kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini, surat tuntutan tersebut telah diserahkan pada 13 Disember lalu kepada editor portal itu, Clare Rewcastle Brown yang beralamat di London.

Notis tuntutan "Letter of Claim Pursuant to the Pre-Action Protocol for Defamation" itu menuntut agar Sarawak Report membuang artikel itu daripada laman web Sarawak Report, Sarawak Report menyiarkan satu permohonan maaf (apology) atau penarikan segala tuduhan mengikut terma yang akan dipersetujui oleh PAS dan menuntut Sarawak Report memberi akujanji (undertaking) tidak akan menyiarkan dakwaan palsu pada masa akan datang.

Takiyuddin turut menamakan dua pihak yang akan menyaman portal tersebut iaitu parti PAS dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sementara itu portal Free Malaysia Today melaporkan Takiyuddin berkata “Kami (PAS) memberikan tempoh tujuh hari untuk pihak Clare Rewcastle Brown memberikan respon terhadap tuntutan. Tunggu sehari dua lagi sebelum kami menentukan tindakan selanjutnya.”

Serawak Report sebelum ini melaporkan yang kepimpinan tertinggi PAS menerima wang berjumlah RM90 juta dari kepimpinan UMNO untuk menarik sokongan parti itu.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan pemimpin PAS yang dilihat sebagai usaha untuk mencemarkan imej dan polisi Islam parti.