Pas tidak akan menghalang perwakilan parti daripada menyuarakan pendapat atau mengkritik barisan kepimpinan atau rakan tahaluf.

Naib Presiden Pas Idris Ahmad berkata ini kerana muktamar merupakan satu platform bagi perwakilan untuk memberi pandangan mereka.

"Kami tidak akan menghalang perwakilan untuk mengkritik kami atau rakan-rakan tahaluf termasuk PKR.

"Namun, sehingga kini, Pas masih kekal tahaluf siyasi bersama PKR," kata Idris.

Tambah beliau, sebarang keputusan mengenai kerjasama dengan PKR akan diperhalusi dan dinilai bersandarkan kepada analisis dan strategi parti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang menyatakan 'perselisihan faham' bukan alasan untuk menamatkan kerjasama di antara PKR dan Pas.