Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengingatkan ahli-hali PAS supaya terus istiqamah dalam perjuangan mendaulatkan Islam.

Mohamad yang lebih dikenali dengan nama Mat Sabu menegaskan perjuangan tersebut perlu dilakukan dengan berstrategik dan tidak terperangkap dengan mainan musuh.

"Yang penting saf kita jangan berpecah, yang silap tu silap, yang penting perjuangan untuk mendaulatkan Islam mesti berterusan dan berstrategik.

"Musuh adalah musuh, mereka akan tetap berusaha mencari jalan untuk memusnahkan kita.

"Saya yakin apa yang berlaku tidak akan memusnahkan kita," katanya ketika menyampaikan ceramah di Kota Bharu malam tadi.

Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana pihak dalam parti Islam itu supaya tidak membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal menguasai Putrajaya.

Katanya Pakatan Rakyat perlu diteruskan kerana ia merupakan alternatif terbaik untuk menggantikan BN yang telah lama memerintah.

"Sama ada ahli biasa atau berjawatan, perjuangan kita mesti teruskan. Jangan ada di hati kita nak izinkan UMNO terus memerintah Putrajaya.

"Jangan siapa nak bantu UMNO pertahan Putrajaya, Abang Mat akan lawan habis kali ini. No...No...No," ujar beliau.

Dalam nada sinis Mohamad menyindir pemimpin-pemimpin PAS yang dilihat seolah-olah cuba memberi pertolongan kepada musuh yang sudah dalam keadaan tenat.

"Dalam suasana begini, kita nak bagi nafas kepada Umno untuk memerintah lagi... 'how can', mana boleh... Jangan bagi sambungan ajal kepada UMNO dan BN," katanya.

Penampilan Mohamad di Kota Bahru merupakan kali kedua selepas tewas dalam pemilihan pimpinan dalam Muktamar PAS ke-61 baru-baru ini.

Beberapa hari sebelum itu, beliau mengadakan ceramah di Kuala Lumpur yang turut mendapat sambutan ahli-ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat.

Malam ini, Mohamad dan pemimpin-pemimpin yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini dijangka akan bersama dalam satu ceramah yang dinamakan 'Perhimpunan Jasamu Dikenang' yang akan diadakan di Muar, Johor.