Perdana Menteri percaya ada pihak cuba untuk memperalatkannya bagi mencapai agenda peribadi mereka.

Namun, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan termakan umpan dan terjebak dalam apa yang disifatkannya sebagai “politik kotor” berkenaan isu video intim yang didakwa melibatkan seorang menteri kanan Kabinet.

“Jelas sekali seseorang mahu memperalatkan saya untuk mencapai agenda mereka.

“Bermain politik kotor ini tidak akan memerangkap saya untuk turut terlibat sekali,” katanya ketika ditemui wartawan selepas melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2013.

Kenyataan beliau ini juga mengulangi kiriman blognya yang diterbitkan pagi Selasa.

Dr Mahathir menambah video intim tersebut juga kelihatan “bukan seperti biasa” di mana ia bukan sebuah video yang hanya merakam sesuatu yang sedang terjadi.

Sebaliknya, menurut Dr Mahathir, ia dirancang dengan teliti dari mula untuk “menyekat kerjaya politik seseorang.”

Beliau juga tidak mengulas lanjut apabila ditanya sama ada tahu siapa dalang di belakang video tersebut.

“Saya bukan penyiasatnya,” katanya lagi.