BERA: UMNO negeri patut diberi sedikit autonomi untuk membuat keputusan dalam menentukan kerjasama politik berdasarkan keperluan di negeri itu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, situasi politik di setiap negeri adalah berbeza dan keperluan bekerjasama atau sebaliknya dengan parti tertentu termasuk Pas juga berbeza.

Menurut Ismail Sabri, terdapat negeri yang masih mahukan kerjasama dan ada yang masih mahu berbincang mengenainya.

"Setiap negeri ada mempunyai pandangan yang berbeza berdasarkan negeri masing-masing. Pandangan UMNO Pahang mungkin berbeza dengan Kelantan. Selangor mungkin berbeza dengan Terengganu.

"Jadi masing-masing ada situasi politik yang berbeza berdasarkan negeri masing-masing tentang keperluan untuk bekerjama dengan Pas dan sebagainya... jadi Kelantan lain, Terengganu lain, Pahang lain Selangor lain... ada yang nak kerjasama, ada yang tak nak kerjasama langsung... ada nak berbincang lagi," katanya di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai UMNO Kelantan yang mengumumkan tidak akan lagi bekerjasama dengan Pas pada Sabtu.

BACA SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Ditanya mengenai kemungkinan UMNO Johor mengadakan kerjasama politik dengan Pas pada PRN kali ini, Ismail Sabri berkata ia masih terlalu awal namun UMNO Johor akan memberikan pandangan mereka dalam masa terdekat.

Semalam Pengerusi  Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, mengumumkan tidak lagi bersama Pas Kelantan dalam Muafakat Nasional (MN).

Keputusan UMNO Kelantan itu berikutan Pas Kelantan masih menjalin kerjasama dengan Bersatu dan meneruskan kerjasama tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, juga dilapor memberi bayangan kemungkinan kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRN Johor.

Katanya, perbincangan mengenai sama ada Pas akan bekerjasama dengan UMNO atau tidak, hanya akan dibuat selepas Dewan DUN dibubarkan.