UMNO Selangor berisiko hilang sokongan jika semua pemimpin di peringkat cawangan sehingga pusat hanya memikirkan projek untuk kepentingan peribadi dan membelakangkan tanggungjawab hakiki memberi khidmat kepada rakyat.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail berkata, sifat ego, pentingkan diri sendiri serta mempunyai masalah kepimpinan hanya menjadikan pengundi sesebuah negeri terutama yang dikuasai pembangkang akan terus melupakan parti serta Barisan Nasional (BN).

"Yang menghancurkan UMNO Selangor ini bukanlah Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak seorang seperti mana pemimpin akar umbi dan bahagian sering jajakan tetapi mereka sendiri yang gagal membantu seterusnya melaksanakan tanggungjawab pada masyarakat membuat parti dibenci dan dimaki hamun setiap masa," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Syed Rosli berkata demikian ketika mengulas mengenai situasi politik dan kepimpinan UMNO Selangor semasa.

Ulasan itu turut dimuatkan di dalam catatan terbaharunya di laman Facebooknya yang bertajuk 'Surat terbuka buat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak'.

Dalam pada itu Syed Rosli memberitahu, dia pernah berjumpa dengan kepimpinan bahagiannya di Pandan dan memberi cadangan untuk mendekatkan UMNO dengan masyarakat selain membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

"Idea itu sudah dua tahun berlalu namun tiada apa pun berlaku. Walaupun pada asalnya saya fikir tidak susah untuk direalisasikan program yang memberi banyak menafaat kepada semua golongan masyarakat dari belia, wanita, lelaki, ibu tunggal, bapa tunggal dan semuanya namun sehingga kini senyap sahaja.

"Hanya kerana kesombongan dan ego pemimpin ini di dalam kepimpinan UMNO bahagian yang hanya pandai membodek untuk projek demi mengumpul kekayaan mereka dan persiapan untuk permilihan parti pada pemilihan akan datang maka tugas, amanah dan tanggungjawab mereka terhadap ahli parti dan rakyat diabaikan," jelasnya.

Katanya yang menjadi ahli UMNO Bahagian Pandan sejak 1995, idea yang pernah diberikan melibatkan agensi -agensi kerajaan dan GLC itu dilihat membantu dan memudahkan masyarakat dari aspek ekonomi masyarakat.

"Namun idea yang membuka peluang penduduk untuk terus bertanya dan merebut peluang dengan sebarang latihan mahupun pinjaman untuk pertingkatkan ekonomi mereka dengan terus berurusan dengan agensi kerajaan itu terus senyap sehingga kini," ujarnya.

Katanya lagi, masalah itu dilihat bukan hanya berlaku di Pandan namun majoriti bahagian UMNO Selangor mempunyai masalah kepimpinan yang sama.

"Semua hanya tidur dan mengejar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, menteri, timbalan perdana menteri serta perdana menteri untuk projek dan membodek di lapangan terbang apabila mereka pulang atau pergi ke luar negara.

"Jika tidak berubah segera, pastinya Selangor akan terus menjadi negeri jajahan pembangkang untuk selama-lamanya," tegasnya.

Sebelum ini, Syed Rosli dilaporkan membuat pusingan-U dan kembali menyokong perdana menteri selepas melihat gerakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya memberikan persepsi serta fitnah terhadap Najib.

Katanya, penjelasan pelbagai isu kebelakangan ini menjadikannya sedar terlalu banyak perkara tidak betul dilemparkan kepada Najib.