GERGASI bola sepak Sepanyol, Barcelona tidak menunggu lama bagi mencari pengganti Javier Mascherano yang hampir pasti meninggalkan Nou Camp.

Pendahulu La Liga itu dilaporkan berjaya mendapatkan Yerry Mina daripada Palmeiras dengan yuran perpindahan bernilai 11.8 juta euro.

Pertahanan tengah skuad kebangsaan Colombia berusia 23 tahun itu menjadi pemain kedua yang menyertai Barca pada jendela perpindahan kali ini selepas Philippe Coutinho yang meninggalkan Liverpool.

Mascherano, 33 tahun, yang bersama Barca sejak 2010 dijangka beralih angin ke Liga Super China dengan menyertai kelab Hebei China Fortune.

Barca dilihat cukup kental musim ini apabila memimpin La Liga dengan 48 mata, sembilan mata mengatasi pencabar terdekatnya Atletico Madrid.