Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh menyifatkan pertemuan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 di tempat lawan, esok bukanlah satu tugas mudah.

Beliau menyifatkan UAE merupakan salah sebuah pasukan terbaik di benua Asia namun belum bersedia menyerah kalah sambil turut mengintai kutipan satu mata mampu dibawa pulang dari tempat lawan.

Malaysia berdepan UAE pada aksi ketiga kumpulan A pusingan kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi pada pukul 7.15 malam waktu tempatan (11.15 malam waktu Malaysia), esok.

"Selepas kami tewas 6-0 kepada Palestin pada perlawanan (pusingan kelayakan) terdahulu, saya yakin pemain mahu memandang ke hadapan untuk memberikan persembanhan terbaik pada perlawanan menentang UAE esok. Insya-Allah." jelas Dollah yang dipetik sebagai berkata menerusi laman sesawang FAM;www.fam.org.my.

Beliau mengakui kepincangan jentera serangan skuad Harimau Malaya ketika terikat seri tanpa jaringan pada aksi persahabatan menentang Bangladesh di Stadium Shah Alam, Sabtu lepas turut merencatkan persediaan pasukan bagi menghadapi aksi getir menentang UAE.

Dalam pada itu, kapten skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim menyeru rakan sepasukan untuk memberikan persembahan terbaik walaupun mengakui UAE merupakan antara pasukan terbaik di benua Asia.

"Sasaran kami ialah untuk mendapatkan mata dan memastikan satu keputusan positif dapat dibawa balik dari Abu Dhabi.

"Jadi saya rasa kami mampu untuk berikan sepenuh komitmen, tumpuan, disiplin dan mengikut arahan serta taktikal jurulatih. Yang paling penting, disiplin dalam permainan," jelas perancang tengah pasukan Johor Darul Ta'zim itu.

Sementara itu, jurulatih UAE, Mahdi Ali menyifatkan faktor cuaca panas dan kelembapan tinggi di negara bukanlah satu alasan bagi pasukan berkenaan meraih kemenangan ke atas Malaysia.

Beliau menjelaskan liga bola sepak di beberapa negara Asia Barat yang lain seperti Qatar dan Arab Saudi turut berdepan situasi yang sama sejak pertengahan Ogos lalu.

"Memang faktor cuaca panas ini akan memberi kesan kepada kedua-dua pasukan tetapi ia sudah dalam kalendar FIFA, jadi kami perlu menanganinya.

"Mengenai perlawanan bertemu Malaysia ini, saya tak anggap ia perlawanan mudah atau sukar kerana tiada yang mustahil apabila kita dapat lihat, semua pasukan negara Asia sudah meningkat sejak tiga atau empat tahun kebelakangan ini," tegasnya.