Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) telah didenda sebanyak RM35,000 secara keseluruhan berikutan kes kelakuan penonton dan penganjuran perlawanan.

Hukuman denda itu bakal menyebabkan pasukan Perak bermain dua perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri.

Denda dibuat mengikut kepada perlawanan separuh akhir 1 Piala Malaysia 2017 ketika Perak menentang Johor Darul Takzim pada 15 Oktober 2017 di Stadium Perak, Ipoh.

Keputusan ini dicapai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM pada Rabu.

Malah keputusan itu juga diumumkan FAM menerusi satu kenyataan di laman web rasmi FAM.

Dalam pada itu, FAM memberi amaran keras dan tidak teragak-agak mengambil hukuman lebih berat sekiranya insiden itu berulang dalam tempoh setahun dari tarikh 20 Disember 2017.

Hukuman bermain tanpa penonton itu akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap perlawanan seterusnya.