Buat julung kali Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan memperkenalkan Kejohanan Liga Remaja Wanita 2016 bermula 19 Februari hingga 10 April ini.

Timbalan Presiden KHM, George Koshy berkata kejohanan itu mendapat sambutan mengalakkan daripada 14 pasukan yang melibatkan sembilan negeri.

"Saya sangat berpuas hati kejohanan ini mendapat sambutan mengalakkan daripada 14 pasukan ini bagi edisi pertama kejohanan.

"Sokongan pasukan-pasukan ini adalah selaras dengan misi KHM untuk menaikkan semula standard sukan hoki wanita negara," katanya pada sidang akhbar mengenai kejohanan itu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Koshy, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, berkata juara keseluruhan akan menerima hadiah wang RM15,000 manakala juara peringkat kumpulan akan membawa pulang RM5,000.

Setiap pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.

"KHM juga turut memberikan subsidi kepada setiap pasukan sebanyak RM3,000 termasuk subsidi kos pengangkutan kepada pasukan yang bermain di Sabah dan pasukan Sabah yang turun bermain di Kuala Lumpur," katanya.

Koshy juga berkata tujuan utama liga itu ialah untuk membentuk pasukan divisyen I dan II bagi skuad hoki wanita.

"Semua ini akan dikaji semula selepas tamat kejohanan liga ini nanti. KHM mahu prestasi hoki wanita meningkat dalam tahap seterusnya selain menyediakan lebih banyak pilihan untuk memilih pemain akan datang," katanya.

Senarai pasukan

Kumpulan A: SSNS SMK Za'ba, Kuala Pilah, Johor, SSNJ SMK Tun Hussin Onn, SSTMI Thunderbolt, Sekolah Sukan Malaysia Sabah, Unikl Ladies dan Selangor Girls.

Kumpulan B: YP-MSP-PHP, MSNT/SMKPM, MSN Kedah, SMK Sultan Ibrahim I, SMK GR.Highlander, Kuala Lumpur Wipers, Mutiara Impian-USM.

Hadiah

Peringkat Kumpulan: Juara RM5,000; Naib juara RM3,500; Tempat ketiga RM2,500.

Juara Keseluruhan: RM15,000; Naib juara RM10,000; Tempat ketiga RM7,500; Tempat keempat RM5,000.