Kelab bolasepak Inggeris, Liverpool tidak berminat untuk mendapatkan khidmat bintang Leicester City, Riyad Mahrez bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Philippe Coutinho di Anfield.

Perkara itu ditegaskan satu sumber dipercayai kelab itu, selepas wujud laporan mengatakan pemain sayap Algeria itu bakal ke Merseyside dengan yuran perpindahan sekitar 50 juta pound (RM270 juta).

Berita itu tersebar selepas hanya beberapa jam Coutinho mengucapkan selamat tinggal kepada The Reds dan sah sebagai pemain Barcelona dengan perpindahan bernilai 140 juta pound (RM770 juta).

Sumber itu turut menyatakan bahawa tiada sebarang komunikasi antara dua kelab tersebut berhubung perkara tersebut, walaupun ura-ura mengatakan Mahrez sedia untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat latihan Liverpool di Melwood.

Kenyataan wartawan Liverpool FC, James Pearce menerusi Twitter

Pada masa sama. Leicester turut meletakkan harga lebih daripada 50 juta pound untuk Pemain Terbaik PFA tahun 2016 itu yang telah membantu The Foxes mengejutkan dunia bola sepak dengan menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim itu.

Liverpool setakat ini sudah berbelanja 75 juta pound (RM406 juta) untuk mengikat pertahanan Belanda, Virgil van Dijk dari Southampton.