Kontinjen negara mempunyai empat hari lagi untuk mengumpul pingat sekali gus meletakkan Malaysia dalam kalangan 10 negara terbaik di Sukan Komanwel 2018 di Gold Cost, Australia.

Ketua kontinjen negara ke Komawel, Huang Ying How berkata Malaysia berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan impian negara itu yang dicanang sejak penubuhan Program Podium pada 2015 oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

"Empat hari lagi cabaran kita di sini akan berakhir tapi kita jangka ada pingat lagi akan disumbang oleh atlet. Kami tidak letakkan harapan yang terlalu tinggi tapi saya yakin mereka (atlet) sentiasa lakukan yang terbaik," katanya.

Antara sukan yang berpeluang untuk menyumbang pingat adalah sukan terjun, gimrama dan boling padang termasuk atlet olahraga yang dijangka bakal mencipta lebih banyak rekod kebangsaan baharu.

Bagi sukan badminton dan skuasy, Huang berharap pemain kekal fokus kepada satu-satu perlawanan terlebih dahulu sebelum meletakkan harapan terlalu tinggi.

Huang yang juga Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) berkata walaupun pasukan skuasy terdiri daripada pemain muda namun mereka telah bersiap sebaiknya untuk mempamerkan aksi terbaik.

Kenyataannya itu dibuktikan apabila gandingan pemain muda, Rachel Arnold-S.Sivasangari mencipta kejutan dengan mengejutkan gandingan juara dunia dari New Zealand, Joelle King-Amanda Landers Murphy dalam aksi pertama peringkat kumpulan.

"Di sini kita dapat rumuskan bahawa kita masih berada di landasan yang betul kerana kita tidak tahu bila pingat akan hadir. Sukan yang kita tidak jangka mampu berikan pingat seperti angkat berat pun menjadi penyumbang pingat buat negara," katanya.

Selepas lapan hari temasya, Malaysia berjaya mengumpul tiga pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Tiga pingat emas itu disumbang oleh atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad (56kg lelaki) dan Muhammad Aznil Bidin (62kg lelaki) serta gandingan terjun negara, Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong (10m platform seirama).

-- BERNAMA