Tidak timbul isu mengenai nama pasukan bola sepak negara samada dipanggil Harimau Malaya atau Harimau Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin menegaskan ia hanyalah nama panggilan sahaja dan bukan nama rasmi.

Namun Khairy berpendapat nama Harimau Malaysia lebih sesuai digunakan.

Ini adalah kerana penyokong bola sepak dari Sabah dan Sarawak tidak diketepikan kerana pasukan itu adalah milik seluruh rakyat Malaysia.

“Kita guna Bahasa Inggeris kerana kita mengalu-alukan pasukan luar negara. Contohnya ‘Welcome to Stadium Bukit Jalil, Home to the Malaysian Tigers’.

“Nama ini adalah nama panggilan sahaja dan bukan nama rasmi, Nama rasminya dalah Pasukan Malaysia.

“Saya menyarankan kita menggunakan nama Harimau Malaysia kerana kalau kita guna Harimau Malaya, ia seolah-olah penyokong dari Sabah dan Sarawak tidak terlibat sama,” beliau berkata semasa merasmikan Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) di Tawau hari ini.

Pusat Satelit ISN tersebut adalah yang ketiga di negeri Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, kenyataan Tengku Mahkota Johor bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak telus, perlu dikaji persatuan itu.

“Elok jika Persatuan Bola Sepak Malaysia kaji apa yang disebut oleh Tengku Mahkota Johor kerana beliau telah meletakkan jawatan.

“Beliau berkata tiada ketelusan dalam menentukan perlawanan dan sebagainya. Saya tidak pasti dakwaan ini adalah betul atau tidak tapi saya rasa lebih baik jika FAM mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam lagi.

“Mungkin terdapat kesahihan di sebalik kenyataan tersebut dan saya berpandangan ia wajar untuk kaji semula apa yang disebut oleh TMJ,” kata Khairy.

Pada 20 Februari lalu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Penasihat FAM tidak sampai setahun selepas dilantik pada Oktober tahun lepas.

Beliau melepaskan jawatan tersebut dengan alasan tidak mahu menjadi sebahagian daripada organisasi yang tidak adil dan tidak professional.

Beliau dikatakan berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan FAM yang tidak meluluskan permohonan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meminda tarikh perlawanan dengan Selangor dan Sarawak manakala permintaan Pahang diluluskan.