Juventus berpeluang menebus kekalahan final Liga Juara-Juara Eropah ke atas Real Madrid musim lalu selepas kedua-dua pasukan diundi dalam perlawanan suku akhir yang ditentukan malam tadi.

Pertembungan dua kelab gergasi England, Manchester City dan Liverpool bakal menjadi perlawanan tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia.

Pada majlis undian yang diadakan di Ibu Pejabat UEFA di Nyon, Switzerland, Anfield akan menjadi tuan rumah dalam perlawanan tersebut.

Cabutan undi yang dilakukan oleh legenda AC Milan dan Chelsea, Andriy Shevchenko, menyaksikan Sevilla yang telah menyingkirkan Manchester United ketika pusingan ke-16, akan menentang Bayern Munich.

AS Roma pula dilihat berdepan laluan sukar apabila dijadualkan akan menentang Barcelona.

Perlawanan peringkat separuh akhir pusingan pertama dijadualkan bermula 3 dan 4 April manakala bagi pusingan kedua dijangka berlangsung dua minggu selepas itu.