Tan Sri Abdul Aziz Yusof, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, telah mengumumkan perlantikan beberapa NGO sebagai pemerhati bebas PRU-13. Beliau turut berkata bahawa: "Tiada had yang diletakkan ke atas bilangan kawasan yang boleh diperhatikan oleh NGO-NGO berkenaan. Jika mereka mempunyai kapasiti untuk memerhati seluruh negara, maka mereka boleh berbuat demikian."

Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) merupakan antara institusi yang terpilih untuk menjalankan pemerhatian. Maka dalam rangka menjalankan tanggungjawab tersebut, IDEAS telah menerajui usaha melantik seramai 325 sukarelawan dari Perlis sehingga ke Johor, dengan kerjasama ASLI Centre for Public Policy Studies (CPPS). Semua sukarelawan tersebut telah dilatih dan telah pun memulakan tugas masing-masing.

Untuk memastikan bahawa gerak kerja pemerhatian merangkumi sebanyak mungkin kawasan di seluruh Semenanjung, IDEAS menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut sama dalam usaha pemerhatian ini.

Kami menjemput semua warga Malaysia yang prihatin untuk membantu kami mengumpul maklumat mengenai perjalanan PRU13. Kami bukan mencari kesalahan atau kesilapan sahaja. Kami juga mahu mengumpul maklumat mengenai perkara-perkara yang berjalan dengan baik, supaya kita boleh merekodkan kebaikan dan juga kekurangan yang berlaku.

Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai perundangan atau peraturan pilihanraya. Prinsip utama yang perlu dipegang oleh orang ramai ialah "JIKA TIDAK PASTI, MAKA LAPORKAN". Tanggungjawab memeriksa maklumat yang diberikan adalah tanggungjawab kami. Kami akan menyaring maklumat yang diberikan untuk memastikan sama ada ia perlukan perhatian lanjut atau tidak.

Apa yang kami perlukan ialah maklumat daripada orang ramai.

Orang ramai juga digalakkan menghantar gambar atau video sebagai bahan bukti. Misalnya jika petugas SPR menjalankan tugas dengan efisien sehingga memudahkan proses mengundi, maka kami menjemput agar gambar persekitaran dan pegawai tersebut dihantar kepada kami sebagai bukti. Atau, jika ada parti politik yang menggunakan elemen perkauman melampau dalam kempen mereka, kami menjemput orang menghantar video atau gambar kepada kami sebagai bukti. Begitu juga jika ada pihak merasakan bahawa telah berlaku salah guna kuasa oleh mana-mana agensi, kami menjemput agar laporan rasmi dibuat kepada kami.

Kami telah menyediakan beberapa kemudahan untuk membolehkan orang ramai turut membantu misi penting ini:

Laman Web: www.pemerhati.my (sila klik "Borang Aduan Umum")
Telefon atau SMS: 016 333 0484
Email: [email protected]

Gambar dan video boleh dihantar melalui laman web ataupun melalui email.

Pihak SPR telah membuka pintu untuk warga Malaysia yang prihatin turut serta membantu memastikan integriti PRU13. Kami menyeru semua pihak untuk sama-sama membantu proses yang penting ini.

_________________________________

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Eksekutif IDEAS.