KUALA LUMPUR:Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi penjualan kenderaan di Malaysia pada 2020 menunjukkan penurunan sebanyak 12.4 peratus (74,847 unit) iaitu kepada 529,234 kenderaan berbanding 604,281 unit pada 2019.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, jualan kenderaan penumpang menurun sebanyak 76,073 iaitu daripada 550,177 unit pada 2019 kepada 474,104 unit pada 2020.

Sementara, jualan kenderaan komersial turut menyaksikan penurunan sebanyak 10.4 peratus daripada 54,104 kenderaan pada 2019 kepada 48,469 kenderaan pada 2020.

“Walaupun terdapat penurunan dua digit dalam TIV, ia pencapaian yang baik bagi industri automotif tempatan kerana persekitaran perniagaan yang penuh tekanan dan mencabar.

“(Pencapaian TIV) tinggi berbanding jangkaan MAA iaitu sebanyak 470,000 unit,” katanya dalam sidang media secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Aishah berkata prestasi lebih baik yang ditunjukkan oleh industri automotif berbanding jangkaan dipengaruhi oleh pengecualian cukai jualan untuk kereta penumpang di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumum oleh kerajaan pada 15 Jun sehingga 31 Disember tahun lalu.

Inisiatif tersebut akan dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi sehingga 30 Jun 2021 di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Jelas beliau, jumlah penjualan kenderaan dalam tiga bulan terakhir 2020 menunjukkan peningkatan yang luar biasa iaitu 184,121 unit berbanding 161,296 unit dalam tempoh sama pada 2019.

“TIV bulanan mencapai kemuncaknya pada Disember 2020 apabila sejumlah 68,836 unit telah didaftarkan.

"Pencapaian tinggi luar biasa itu disebabkan oleh pengguna menjangkakan bahawa pengecualian cukai jualan untuk kereta penumpang akan berakhir pada 31 Disember 2020,” katanya lagi.

Tambah beliau, jualan bagi segmen kenderaan penumpang menurun sebanyak 69,212 unit atau 12.6 peratus, manakala segmen kenderaan perdagangan mencatatkan penurunan sebanyak 10.4 peratus atau 5,635 unit.

Bagaimanapun, Aishah berkata MAA optimis pasaran automotif tempatan akan pulih pada 2021 susulan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan.

MAA menjangkakan peningkatan jumlah jualan kenderaan sebanyak lapan peratus atau 40,566 unit pada tahun ini.

Untuk rekod, TIV pada 2019 berbanding 2018 meningkat sebanyak 5,689 unit (sekitar satu peratus) kepada 604,287 berbanding 598,598 unit.