KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd menegaskan bahawa pelaburan yang dijangkakan bernilai RM32 bilion bagi pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Perak bukan pelaburan eksklusif oleh penganjur utama projek itu, iaitu pihaknya dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) sahaja.

Dalam kenyataan pada Jumaat, DRB-Hicom menjelaskan sebaliknya ia merupakan pelaburan kolektif yang merangkumi pelabur asing dan tempatan lain.

"Kami juga ingin menekankan bahawa projek ini disasar menarik penyertaan dan pelaburan daripada syarikat asing dan tempatan dalam industri automotif berteknologi tinggi baharu. Ini dijangka membawa pelaburan kolektif ke kawasan AHTV bernilai anggaran RM32 bilion oleh semua pihak dan bukan sahaja DRB-Hicom dan/atau Geely.

"Di samping itu, rancangan Proton untuk memindahkan sepenuhnya kemudahan pengeluarannya ke Tanjong Malim menjelang 2026 juga akan mewujudkan bandar baharu yang rancak, meningkatkan ekonomi domestik dengan menarik syarikat runcit untuk beroperasi di kawasan itu," menurutnya.

Pada 1 April lepas, DRB-Hicom menandatangani Dasar-Dasar Utama Perjanjian dengan Geely di Beijing, China mengenai rancangan pembangunan hab industri automotif di Tanjong Malim.

AHTV adalah sebuah projek untuk menjadikan Tanjong Malim, dan secara tidak langsung Malaysia, sebagai hab automotif untuk aktiviti ekonomi yang rancak dengan bidang teknologi automotif baharu yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia, tambah DRB-Hicom.

DRB-Hicom turut yakin AHTV adalah langkah ke hadapan yang tepat untuk Malaysia dalam ruang teknologi automotif baharu, dan kemasukan pelbagai pelabur global memberi manfaat yang baik kepada industri dan ekonomi domestik, serta menambah nilai kepada landskap automotif Malaysia.

-- BERNAMA