KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengalu-alukan pindaan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) bagi pelepasan antarabangsa tunggal seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Naib Presiden Serantau bagi Asia Pasifik IATA Philip Goh berkata ketelusan diperlukan mengenai cara kos dapat diperoleh semula daripada pengguna lapangan terbang secara adil.

"Mavcom bekerjasama dengan pihak industri dalam proses perundingan yang menyeluruh sebelum membuat keputusan mengenai perubahan caj di lapangan terbang Malaysia.

"Ini patut dipuji, dan satu amalan terbaik yang wajar dikekalkan terutama dengan penggabungan penting Mavcom dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang akan berlaku," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pengenalan PSC transfer mungkin memberi kesan kepada daya saing Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terutama apabila bersaing untuk traffic transfer di Asia Tenggara yang mempunyai hab penerbangan kukuh di Bangkok, Kuala Lumpur dan Singapura.

"Kami menggesa Mavcom untuk mengkaji semula perkara ini apabila caj perkhidmatan penerbangan disemak selepas ini," katanya.

Philip berkata IATA berharap dapat meneruskan kerjasama dengan Mavcom dalam proses perundingan yang penting.

Menurut IATA kadar PSC transfer di Singapura ialah S$6 (S$1=RM3.52) manakala penumpang transit Bangkok pula dikecualikan daripada caj itu.

Pada 12 Mac lepas, Mavcom mengumumkan pindaan kepada PSC bagi Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1), bermula 1 Jun, 2024 hingga 31 Dis, 2026.

Mavcom juga memperkenalkan PSC transfer bagi perjalanan domestik di semua lapangan terbang pada kadar RM7, perjalanan antarabangsa melalui Terminal 1 KLIA pada RM42, dan perjalanan antarabangsa melalui Terminal 2 KLIA dan lapangan terbang lain pada RM29.

Suruhanjaya itu memaklumkan bahawa kadar pindaan PSC baharu itu di antara RM7 dengan RM73 dikenakan kepada penumpang yang berlepas dan transfer dari Malaysia.

Kadar itu termasuk caj keselamatan iaitu caj bagi penyediaan perkhidmatan keselamatan di lapangan terbang, menurutnya.

-- BERNAMA