KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Disember 2021 meningkat 3.2% kepada 124.5 berbanding 120.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya berikutan kenaikan harga makanan dan bahan api.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata,  kenaikan itu juga melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga 2021 iaitu 1.9%.

“Selain peningkatan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (3.2%) dan kumpulan pengangkutan (9.5%), kadar inflasi 3.2%  pada Disember 2021 turut disumbangkan oleh harga yang lebih tinggi bagi perumahan, air, gas, dan bahan api lain (3.4%); perabot, peralatan rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (2.7%) serta restoran dan hotel (1.3%),” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau juga berkata kenaikan indeks harga kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada 3.2% adalah disebabkan kenaikan harga bahan mentah untuk penyediaan masakan di rumah, seperti daging (8.3%); susu, keju dan telur (5.5%); sayur-sayuran (5.0%); minyak dan lemak (4.4%) dan ikan dan makanan laut (4.2%).

Ujarnya, ayam meningkat 13.6% dan mencatatkan harga purata RM9.54 sekilogram berbanding RM8.40 pada Disember 2020, telur mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 13.5% bulan lalu, manakala susu juga naik 3.0%.

Selain itu, Mohd Uzir berkata, hujan lebat yang berlaku di beberapa negeri sepanjang Disember 2021 telah menyebabkan kenaikan harga makanan terutama sayur-sayuran, ikan dan makanan laut, berpunca daripada kesan langsung kekurangan bekalan akibat faktor cuaca.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia oleh kerajaan pada 7 hingga 31 Disember lepas telah meredakan inflasi golongan ini daripada terus melambung tinggi.

Selain itu, beliau berkata kenaikan lebih perlahan dalam indeks harga kumpulan pengangkutan berbanding November 2021 (12.7%) adalah disebabkan oleh kenaikan harga petrol tanpa plumbum RON95 pada Disember 2020 iaitu pada RM1.74 seliter yang telah mengecilkan perbezaan antara harga siling petrol tanpa plumbum RON95 ditetapkan kerajaan pada Mac 2021 (RM2.05).

“Pada tahap tertentu, ia telah meredakan inflasi berbanding November 2021 sebanyak 3.3 %,” katanya.

Bagi IHP mengikut negeri, beliau berkata, semua negeri mencatatkan peningkatan pada Disember 2021, dengan lapan negeri menunjukkan peningkatan melebihi paras inflasi negara sebanyak 3.2% dan kenaikan tertinggi ialah Terengganu pada 3.9%.

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com